IAME Siri Asia catat rekod penyertaan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelumba antarabangsa apabila IAME Siri Asia bukan sahaja mendapat sambutan, malah mencatat penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjuran kejohanan itu di rantau ini.

Pengarah Eksekutif Kinex Private Limited dan IAME Siri Asia, Daniel Ling berkata, daya tarikan Malaysia bukan sekadar faktor kos, sebaliknya keramahan rakyat, makanan, suasana serta kualiti litar perlumbaan menjadi antara sebab pelumba luar negara mahu kembali beraksi.

“Daripada maklum balas yang saya terima daripada komuniti, mereka secara umumnya menyukai Malaysia kerana rakyatnya yang mesra, makanan, suasana dan litar perlumbaan yang bagus,” katanya ketika ditemui di Litar Antarabangsa LYL baru-baru ini.

Pusingan keenam IAME Siri Asia 2026 menyaksikan 122 pelumba berdaftar, mengatasi 119 pelumba pada pusingan sebelumnya sekali gus mencipta rekod baharu penyertaan tertinggi bagi satu jenama dalam siri kejohanan itu di rantau ini.

Menurut Daniel, kehadiran pelumba antarabangsa termasuk dari Australia membuktikan Malaysia mempunyai daya tarikan tersendiri meskipun mereka perlu menanggung kos lebih tinggi untuk beraksi di negara ini.PauseNextMute

“Mereka sebenarnya membayar lebih untuk datang berlumba di sini, tetapi mereka sanggup membayarnya kerana berasa dialu-alukan, gembira menjadi sebahagian daripada negara dan komuniti yang hebat ini,” katanya.

Malah, katanya, sebuah pasukan dari Australia menyifatkan pengalaman mereka ketika memasuki kawasan paddock di Malaysia cukup berbeza berbanding ketika berlumba di negara sendiri.

Daniel berkata, layanan mesra itu menjadi antara kekuatan utama Malaysia dalam menarik lebih ramai pelumba dan pasukan antarabangsa menyertai kejohanan berkenaan.

Bagi memastikan pelumba luar negara tidak berdepan kesukaran, pihak penganjur turut menyediakan bantuan menyeluruh membabitkan penginapan, hubungan dengan pasukan tempatan, urusan kastam serta logistik dari gudang ke litar.

Menurutnya, sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Tourism Malaysia turut membantu perkembangan IAME Siri Asia, selain membuka peluang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab sukan permotoran serantau.

“Tahun depan adalah tahun untuk kami mula mengembangkan sukan permotoran di Malaysia dengan mewujudkan Kinex Motorsport di Malaysia, membawa segala-galanya kembali ke Malaysia dan menjadikannya hab serta ibu pejabat operasi kami di sini,” katanya.

Dalam masa sama, IAME Siri Asia turut memperkukuh laluan pembangunan pelumba muda menerusi Akademi Bintang Muda Kinex, Piala Selat IAME serta akademi menggunakan kereta formula bagi memberi peluang kepada pelumba membina kerjaya secara berperingkat.

Daniel berkata, beberapa pelumba yang pernah beraksi dalam IAME Siri Asia termasuk Bianca Bustamante, Yvan David, Christian Ho dan pelumba negara, Putera Adam Halim Muazzam, kemudian meneruskan perkembangan karier masing-masing dalam perlumbaan formula serta GT.

Selain memberi peluang kepada pelumba mengembangkan karier, penganjuran siri itu turut memberi limpahan kepada ekonomi negara apabila Daniel menganggarkan kira-kira RM15 juta dibawa masuk ke Malaysia menerusi inisiatif Visit Malaysia 2026 sepanjang beberapa pusingan tahun ini.

Anggaran itu dibuat berdasarkan kira-kira 500 penyertaan, selain kehadiran mekanik, keluarga dan penyokong pelumba yang turut menyumbang kepada sektor penginapan, makanan, pengangkutan serta pelancongan.