SEREMBAN: Lebih 50 anggota polis dilihat membuat kawalan ketat dan dalam keadaan bersiap sedia di sekitar kawasan Balai Undang Sungai Ujong, dekat Ampangan, di sini, hari ini.
Difahamkan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dan Undang Yang Empat (Undang yang dipertikai) berada dalam balai berkenaan.
Tinjauan mendapati kawasan sekitar termasuk di bahagian belakang balai itu dipenuhi polis termasuk kelihatan beberapa trak yang diparkir di situ.
Pihak media yang ke lokasi terbabit untuk membuat liputan tidak dibenar mendekati balai berkenaan dan diminta beredar.
Tunku Nadzaruddin sepatutnya mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, di sini, pada jam 9 pagi tadi, namun ia dibatalkan atas faktor keselamatan.
Usaha untuk mendapatkan Ketua Polis Negeri, Datuk Alzafny Ahmad bagi mengulas kawalan ketat yang dibuat di kediaman rasmi Undang Luak Sungai Ujong setakat ini tidak berjaya apabila beliau tidak dapat dihubungi.

