Tambang KLIA Ekspres, Transit naik RM10 kepada RM65 mulai 1 Januari 2027

KUALA LUMPUR: Kadar tambang KLIA Ekspres dan KLIA Transit perjalanan sehala bagi penumpang dewasa antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang akan dinaikkan daripada RM55 kepada RM65 mulai 1 Januari tahun depan.

Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pihaknya akan menyelaraskan tambang perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit berkuat kuasa 1 Januari 2027.

“Tambang standard sehala bagi penumpang dewasa untuk perjalanan antara KL Sentral dan KLIA (Terminal 1 dan Terminal 2) akan dinaikkan daripada RM55 kepada RM65, manakala tambang bagi semua sektor lain turut diselaraskan sewajarnya.

“Pelarasan itu dibuat selepas 11 tahun. Kali terakhir tambang diselaraskan pada 2016 susulan peningkatan ketara kos operasi dan penyelenggaraan,” katanya.

Menurutnya, pelarasan tambang itu adalah selaras dengan Perjanjian Konsesi ERL dengan kerajaan.

“Langkah itu akan menyokong usaha berterusan ERL untuk mengekalkan serta menyediakan perkhidmatan rel yang boleh dipercayai, cekap dan berkualiti kepada penumpang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Datin Noormah Mohd Noor berkata pelarasan itu mencerminkan realiti kos operasi dan penyelenggaraan perkhidmatan rel lapangan terbang berkualiti tinggi.

Ia juga memastikan ERL terus berada pada kedudukan kukuh untuk memenuhi keperluan penumpang dalam jangka panjang.

“Selama bertahun-tahun, KLIA Ekspres dan KLIA Transit terus menyediakan perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan selesa di samping berdepan peningkatan kos operasi.

“Pelarasan tambang ini akan menyokong usaha kami untuk mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi serta melabur dalam penambahbaikan bagi meningkatkan pengalaman penumpang.

“Ia selaras dengan komitmen kami menyediakan hubungan paling pantas dan boleh dipercayai antara KL Sentral dan KLIA,” katanya.

Kerjasama dengan rakan strategik

Selain itu, kenyataan itu memaklumkan, ERL sedang bekerjasama dengan pelbagai rakan strategik untuk menawarkan diskaun tiket eksklusif hingga 30 peratus mulai Januari 2027.

“Ia sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada penumpang menikmati penjimatan bagi perjalanan mereka.

“Butiran lanjut akan diumumkan selepas urusan berkenaan dimuktamadkan,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Pertanyaan Pelanggan di talian 03-2267 8000 atau melayari www.KLIAekspres.com untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tambang baharu bagi semua produk dan perkhidmatan ERL.