Tiada kerjasama BERSATU-PH – Azmin Ali

KUALA LUMPUR: BERSATU mengesahkan tidak akan mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti politik, termasuk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, turut menegaskan akan terus menggunakan logo BERSATU pada pilihan raya nanti seperti PRN Negeri Sembilan.

Ketika ini, beliau berkata, pihaknya sedang merangka strategi termasuk mempersiap jentera ke arah bertanding solo.

“BERSATU tidak membuat sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

“Tumpuan sekarang ialah untuk meneliti persiapan gerak kerja pilihan raya di beberapa kawasan tumpuan,” katanya kepada BH semalam.

Berkenaan dengan perjumpaan yang berlangsung di Melaka kelmarin, Mohamed Azmin berkata, pertemuan di antara beberapa pemimpin kanan PH dan BERSATU langsung tiada kaitan dan bercanggah dengan pendirian parti.

Sebaliknya beliau berkata, perjumpaan berkenaan bersifat peribadi dan tidak lebih daripada itu.

“Perjumpaan di atas tiada kaitan dengan pendirian Biro Politik BERSATU. Perjumpaan atas sifat peribadi,” katanya.

BH semalam melaporkan BERSATU mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin kanan PH Melaka, dalam jamuan makan malam tertutup sempena program Pra PRN Melaka.

Pertemuan di hotel dekat Jalan Hang Tuah itu dihadiri Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Pengarah Pilihan Raya BERSATU Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad; Ketua Bersekutu BERSATU, Datuk Seri R Sanjeevan dan Ketua Penerangan BERSATU Melaka, Datuk Seri Hishamiddin Abdul Karim.

Kehadiran pemimpin daripada kedua-dua blok politik itu sekali gus mencetuskan spekulasi agenda pertemuan berkenaan, terutama ketika rundingan kerjasama politik menjelang PRN Melaka sedang berlangsung.

Media sebelum ini melaporkan PH Melaka dijangka bergerak menerusi formula PH Plus tanpa pembabitan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Melaka.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dilapor berkata, setakat ini tiada rundingan dengan BN, manakala perbincangan dengan beberapa parti lain yang mempunyai aspirasi sama masih berjalan.