Pelancong China maut selepas selam snorkel di perairan Pulau Pom Pom

SEMPORNA: Seorang pelancong wanita warga China meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika aktiviti selam snorkel bersama keluarganya di perairan Pulau Pom Pom di sini, semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 66 tahun dari Yunan dilaporkan mengadu tidak selesa sebelum meminta dibawa naik ke atas bot.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah, berkata sebaik berada di atas bot, mangsa tidak sedarkan diri

“Usaha memberikan bantuan pernafasan (CPR) tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Mangsa dibawa ke Hospital Semporna,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hiap Wah berkata, pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa yang mempunyai sejarah penyakit asma sejak 10 tahun lalu, meninggal dunia.

Bagaimanapun katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar, sehubungan itu menasihatkan pengusaha pelancongan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, khususnya ketika aktiviti rekreasi air.

Polis turut meminta saksi mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden, Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852.