KIULU: Sebanyak 1,000 anak pokok vanila akan diagihkan kepada penduduk dan pengusaha pelancongan berasaskan komuniti di daerah ini bulan ini, dalam usaha memperluas tanaman berkenaan sekali gus merancakkan sektor agropelancongan di situ.
Pengagihan berkenaan adalah fasa kedua selepas 1,000 anak pokok vanila diagihkan kepada penduduk serta pengusaha pelancongan berasaskan komuniti di Kiulu pada fasa pertama awal tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, baru-baru ini mengadakan lawatan ke My Kebun Vanilla di Kinarut bagi melihat sendiri kaedah penanaman vanila serta persiapan menjelang pelaksanaan fasa kedua.
Beliau berkata, dalam lawatan itu, pengasas My Kebun Vanilla, Leo Komuji, memberi penerangan mengenai kaedah penanaman, pengurusan tanaman serta potensi pasaran komoditi berkenaan.
“Program berkenaan turut menyediakan latihan praktikal kepada peserta berkaitan pengurusan kebun, selain menawarkan skim pembelian semula hasil menerusi model pertanian kontrak.
“Selain itu, program berkenaan bertujuan melengkapkan peserta dengan pengetahuan serta sokongan yang diperlukan bermula daripada peringkat penanaman sehingga proses tuaian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, inisiatif tanaman vanila itu turut dilihat berpotensi melengkapi aktiviti pelancongan berasaskan komuniti yang semakin berkembang di Kiulu, terutama kerana sebahagian peserta terbabit sudah mempunyai pengalaman dalam sektor pelancongan.
Joniston berkata, gabungan aktiviti pertanian dan pelancongan itu berpotensi memberi pengalaman baharu kepada pelawat untuk melihat sendiri proses penanaman vanila, selain membuka sumber pendapatan tambahan kepada masyarakat luar bandar.
Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, sambutan komuniti Kiulu terhadap pelaksanaan fasa pertama adalah menggalakkan.
Ini kerana penanaman vanila bukan sahaja mampu melengkapi aktiviti pelancongan sedia ada, malah berpotensi mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada masyarakat luar bandar.
Program yang dijadualkan berlangsung bulan itu dijangka merangkumi bengkel amali, taklimat teknik penanaman serta pengagihan 1,000 lagi sulur vanila kepada komuniti yang mengambil bahagian.
Difahamkan, perluasan projek itu adalah sebahagian usaha berterusan memperkukuh Kiulu sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti, di samping mewujudkan lebih banyak peluang pembangunan ekonomi kepada penduduk luar bandar.

