KUANTAN – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga seorang pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) yang meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri pagi Selasa.
JPPKK dalam kenyataan hari ini memaklumkan mendiang, M. Elisa Jonova, 19, merupakan pelajar Program Diploma Pengurusan Logistik dan Rangkaian Bekalan di POLISAS.
Menurut kenyataan semalam, kes berkenaan kini dalam siasatan pihak berkuasa.
“JPPKK dan POLISAS akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu proses siasatan serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, JPPKK menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian berkenaan.
JPPKK turut meminta semua pihak menghormati privasi serta perasaan keluarga mendiang yang sedang melalui saat sukar susulan pemergian berkenaan.
“JPPKK dan POLISAS akan terus memberikan perhatian, sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga mendiang. Sebarang makluman lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu media laporkan pelajar wanita berusia 19 tahun ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh teman lelakinya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Air Putih di sini kira-kira 4.32 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada suspek yang juga berusia 19 tahun memaklumkan berlaku pergaduhan antara dia dengan teman wanitanya. – MalaysiaGazette

