WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata beliau akan bercakap dengan Presiden Russia, Vladimir Putin dalam masa terdekat berhubung kematian seorang juruteknik makmal yang dilaporkan akibat wabak taun.
Washington meningkatkan tekanan terhadap Moscow supaya lebih telus mengenai kes itu, yang didakwa berpunca daripada kebocoran di makmal.
Pihak berkuasa Russia menafikan pihaknya mengenakan langkah anti taun dan meremehkan laporan mengenai kebocoran di sebuah institut pencegahan wabak di wilayah Irkutsk, Siberia, minggu lalu.
Bagaimanapun, Washington semakin bimbang dengan perkembangan itu, dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menggesa Russia supaya bersikap terbuka mengenai perkembangan terkini.
“Kami menggalakkan Russia supaya telus dan berkongsi lebih banyak maklumat dengan dunia supaya kita semua dapat bertindak balas sewajarnya,” katanya ketika lawatan ke Iceland.
Katanya, tindak balas AS bergantung kepada maklumat yang diperoleh mengenai kejadian itu.
Trump kemudian mengesahkan beliau dijadualkan bercakap dengan Putin mengenai perkara berkenaan.
“Ya, saya ada dijadualkan membuat panggilan,” katanya kepada pemberita di Rumah Putih ketika ditanya sama ada beliau sudah bercakap dengan Putin mengenai isu itu.
Beliau berkata perbualan itu akan berlangsung ‘dalam masa terdekat’.
Menurut laporan The Wall Street Journal, Jabatan Negara AS menghantar komunikasi diplomatik sulit kepada Russia dikenali sebagai demarche.
Ia memberi amaran bahawa kegagalan mendedahkan butiran kejadian itu bercanggah dengan kewajipan kesihatan antarabangsa Moscow.
Jumaat lalu, media Russia, People of Baikal, melaporkan seorang wanita berusia 28 tahun yang meninggal dunia itu, Darya Shipilova, mungkin dijangkiti taun pneumonik selepas sebuah tabung uji pecah.
Media lain turut melaporkan kemungkinan kaitan antara kematiannya dengan kemalangan di makmal institut berkenaan.

People of Baikal turut melaporkan sehingga 200 individu yang mungkin mempunyai kontak dengannya diletakkan dalam kuarantin.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Russia berkata punca kematian wanita itu belum disahkan dan agensi pemantau kesihatan negara, Rospotrebnadzor menafikan dakwaan mengenai pelaksanaan langkah khas yang tersebar menerusi dokumen dalam talian.
Agensi itu berkata dokumen dan maklumat berkenaan bukan daripada sumber rasmi dan tidak benar.
Pegawai Russia turut berkata ujian bedah siasat tidak mengesan penyakit berkenaan.
Gabenor Wilayah Irkutsk, Igor Kobzev, berkata pemeriksaan Rospotrebnadzor mendapati wanita itu meninggal dunia akibat radang paru-paru, manakala puncanya masih belum dapat dipastikan.
Katanya, tiada mikroorganisma berkaitan tugas profesional wanita itu dikesan dalam sampel biologinya dan tiada kakitangan lain di institut berkenaan mendapatkan rawatan selepas kematiannya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula berkata kemas kini yang diterima daripada Russia pada Selasa menegaskan tiada kes penyakit berbahaya itu direkodkan di bandar Irkutsk.
Menurut WHO, Russia melancarkan siasatan epidemiologi terhadap satu kes radang paru-paru yang diperoleh dalam komuniti membabitkan seorang pekerja institut di Irkutsk, selain mengenal pasti individu yang mempunyai kontak dengannya untuk pemantauan perubatan dan ujian makmal.
Keputusan ujian menunjukkan tiada patogen penyakit berjangkit berbahaya dikesan dalam kalangan individu yang mempunyai kontak dengannya.
Jurucakap WHO, Christian Lindmeier, berkata risiko terhadap Irkutsk berdasarkan maklumat yang tersedia adalah ‘sederhana hingga rendah’, sambil menegaskan agensi itu memantau perkembangan berkenaan dengan teliti.
Taun ialah penyakit bakteria yang boleh berlaku dalam beberapa bentuk termasuk taun pneumonik yang menjadi bentuk paling mudah berjangkit dan boleh merebak melalui saluran pernafasan.
Taun bubonik pula disebarkan melalui gigitan kutu yang dijangkiti.
Menurut WHO, taun pneumonik boleh menyebabkan kegagalan paru-paru dan membawa maut jika tidak dirawat pada peringkat awal. – AFP

