ISKANDAR PUTERI: Lima penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pagi ini, terjejas dan mengalami penangguhan waktu berikutan faktor cuaca teruk yang menyebabkan jarak penglihatan menjadi sangat rendah.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, situasi itu menjejaskan sekurang-kurangnya lima penerbangan selepas pesawat tidak dapat mendarat demi mematuhi piawaian keselamatan penerbangan yang ditetapkan.
Beliau berkata, berikutan keadaan itu, beberapa penerbangan terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Lapangan Terbang Changi, Singapura.
“Bukan sahaja pesawat tidak boleh mendarat, malah penerbangan yang belum berlepas dari tempat asal turut diminta menangguhkan jadual mereka.
“Pesawat terpaksa dilencongkan kerana keselamatan adalah keutamaan. Sekiranya berlepas sekali pun, tetapi tidak boleh mendarat di Senai, adalah lebih baik untuk menanti di lapangan terbang berlepas seperti KLIA,” katanya.PauseNextMute
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Armada Lori Terminal Berkuasa Elektrik di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman.
Mengulas lanjut, Loke berkata, penerbangan beliau dari KLIA ke Senai yang sepatutnya berlepas, jam 6.45 pagi, turut mengalami gangguan berikutan arahan daripada Kawalan Trafik Udara (ATC).
Beliau bersama penumpang lain terpaksa menunggu hampir satu jam 45 minit di dalam pesawat sebelum dibenarkan berlepas, jam 9 pagi, selepas keadaan cuaca beransur pulih.
“Apabila saya mendarat di Senai, memang terdapat agak ramai penumpang yang masih terkandas dan belum berlepas. Ini kerana penerbangan pelepasan (outbound) terjejas akibat kelewatan ketibaan pesawat yang dilencongkan sebelum itu.
“Bagaimanapun, gangguan ini bersifat sementara dan situasi dipantau rapi. Saya yakin operasi penerbangan di LTAS akan kembali pulih sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga jam lagi,” katanya.
Setakat jam 9 pagi tadi, tujuh kawasan di Johor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan Segamat merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 186; diikuti Pasir Gudang (180), Larkin (178) dan Tangkak (171).

