Penduduk bergadai nyawa lalui jambatan gantung uzur

SIK: Lebih 2,000 penduduk dari sembilan kampung di Mukim Jeneri di sini bergadai nyawa setiap hari menggunakan jambatan gantung berusia 25 tahun yang kini semakin uzur dan membahayakan keselamatan.

Jambatan gantung sepanjang 110 meter di Kampung Berona itu kekal menjadi satu-satunya laluan utama yang menghubungkan penduduk setempat bagi urusan harian, termasuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kalai serta ke masjid.

Keadaan semakin membimbangkan apabila struktur jambatan merentasi Sungai Muda itu rosak teruk termasuk tiang utama, kabel, rasuk kayu penahan lantai dan pagar keselamatan.

Pengerusi Persatuan Komuniti Kampung Berona, Mohd Tarmizi Puteh berkata kerosakan rasuk kayu di bahagian bawah jambatan semakin kritikal apabila sebahagiannya reput dan jatuh ke sungai.

Katanya, keadaan jambatan semakin condong ke kiri dan kabel utama juga sudah rosak, malah bahagian konkrit yang menjadi penahan turut beralih daripada kedudukan asal akibat hakisan tanah.

“Keadaan ini amat membimbangkan kerana itu bergoyang setiap kali digunakan termasuk oleh kanak-kanak untuk ke sekolah,” katanya ketika ditemui.

Mohd Tarmizi berkata, jambatan itu digunakan penduduk Kampung Berona Kanan, Berona Kiri, Berona Kiri Dalam, Changhai, Mambong, Bukit Minyak, Kalai, Kuala Roman dan kawasan sekitar Sungai Semiar.

“Kami sudah hantar surat untuk permohonan jambatan baharu kepada Pejabat Daerah Sik, ICU (Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Namun belum ada tindakan atau peruntukan khas yang dapat disalurkan, hanya ada pegawai yang datang melawat,” katanya.

Seorang penduduk, Nur Habibah Rasli, 39, berkata pengguna berhati-hati menggunakan jambatan itu terutamanya pada waktu pagi ketika penduduk kampung sibuk menghantar anak ke sekolah.

“Kalau keadaan kering, masih boleh dilalui seperti biasa, tetapi ketika hujan, lantainya menjadi licin dan kami terpaksa memperlahankan motosikal.

“Kami bimbang dengan keadaannya yang uzur, jambatan ini boleh runtuh sekaligus membahayakan pengguna,” katanya.

Penduduk, Abdul Ghani Harun, 63, berkata jambatan berkenaan turut menjadi laluan penting bagi penduduk untuk mencari rezeki termasuk membawa hasil kebun, getah sekerap dan durian untuk dijual.

“Musim durian, kami ulang-alik setiap hari kerana peraih menunggu di sebelah sana. Kalau jambatan ini ditutup, kami terpaksa berpusing kira-kira enam kilometer melalui jalan lain.

“Penduduk dari beberapa kampung juga menggunakan laluan ini untuk ke masjid bagi solat Jumaat, manakala anak-anak pula menggunakannya untuk ke SK Kalai,” katanya.