McAllister tabik semangat juang DPMM FC

KUALA LUMPUR: Pengendali DPMM FC, Jamie McAllister memastikan pasukannya terus menguasai permainan untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala FA meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Jelas McAllister, pemain sudah membuktikan kemampuan mereka apabila menunjukkan aksi cukup baik sejak awal perlawanan, malah menguasai permainan pada separuh masa pertama sebelum kehilangan seorang pemain apabila Tommy Mawat Bada dilayangkan kad merah pada penghujung separuh masa pertama.

Menurutnya, situasi itu tidak mengubah pendekatan pasukan apabila beliau mengingatkan pemain supaya terus berdisiplin, terutama ketika bertahan bagi mengekang asakan KL City.

“Sejak awal perlawanan, saya fikir kami pasukan yang lebih baik dan menguasai separuh masa pertama. Kami sepatutnya mendahului mungkin 2-0, tetapi Tommy dilayangkan kad merah.

“Saya memberitahu pemain ketika rehat bahawa tiada apa yang berubah. Kami perlu bertahan dengan baik dan pemain melaksanakan pelan permainan dengan cemerlang,” kata McAllister.

Dalam pada itu, beliau melihat anak buahnya terus menunjukkan ketahanan mental dan semangat berpasukan yang tinggi pada babak kedua, malah berasakan pasukannya mampu mencipta lebih banyak peluang berbahaya berbanding lawan walaupun kekurangan seorang pemain.

“Kami mengawal permainan ketika tidak menguasai bola menerusi organisasi pertahanan yang baik. Apabila memperoleh bola semula, kami kembali menguasai permainan dan mencipta banyak peluang.

“Saya fikir kami menghasilkan peluang lebih baik pada separuh masa kedua dengan 10 pemain berbanding mereka yang mempunyai 11 pemain,” katanya.

Mengulas persiapan menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas ini, McAllister berkata, pemain perlu diberikan masa untuk pulih selepas mengerah segala tenaga, terutama ketika beraksi dengan kekurangan seorang pemain.

“Kami perlu pulih dan menikmati detik ini kerana melangkah ke separuh akhir adalah pencapaian besar, lebih-lebih lagi selepas menewaskan pasukan yang bagus seperti KL City.

“Saya memang menjangkakan kemenangan kerana saya percaya kepada pemain. Kami mempunyai pemain yang bagus dan individu yang baik,” tambahnya.

Dalam perlawanan itu, jaringan tunggal Jordan Murray pada minit ke-12 sudah cukup memastikan kemenangan buat DPMM 4-3 secara agregat selepas terikat 3-3 pada suku akhir pertama sebelum itu.