Warga emas Temiar antara terawal miliki MyKAD generasi baharu

GUA MUSANG: Dua beradik Orang Asli kaum Temiar yang juga warga emas di Pos Hau, di sini, teruja apabila menjadi antara yang terawal memiliki MyKad generasi baharu.

Faktor jarak tempat tinggal di kawasan pedalaman jauh dari bandar, menimbulkan kesukaran kepada Gerumin Along, 78, dan adiknya, Alem Along, 77 untuk keluar dari penempatan bagi urusan mengganti dokumen itu.

Menurut Gerumin, kehadiran kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR), membolehkan mereka membuat urusan berkenaan.

“Saya sudah uzur, ditambah pula mata juga tidak dapat melihat, dan kalau ikutkan umur sebenar mungkin lebih daripada 77 tahun.

“Nak harapkan saya keluar untuk menukar kad pengenalan baharu sangat mustahil kerana keadaan jalan untuk keluar dan masuk juga sangat jauh serta melalui jalan tanah.

“Namun dengan kehadiran kakitangan JPN ini, ia memberi kelegaan kepada saya kerana akhirnya dapat membuat penggantian kad pengenalan baharu,” katanya ketika ditemui di Pos Hau, di sini, petang semalam.

Terdahulu dua beradik itu dikunjungi Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias bagi penyerahan MyKad generasi baharu berkenaan pada Program Literasi Pendaftaran, sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara peringkat negeri, di sini.

Pada program itu, seramai 115 peserta terdiri daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), dan Pusat Khidmat Adun Galas turun padang menyantuni penduduk Orang Asli Pos Hau dan Pos Balar.

Sementara itu, Alem berkata, kehadiran kakitangan JPN yang turun padang melalui program MEKAR itu juga sangat membantu memudahkan penduduk Orang Asli untuk membuat urusan dengan jabatan.