Netanyahu ikrar tidak benarkan pelarian Palestin pulang ke rumah

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berikrar penduduk Palestin yang dipindahkan dari kem pelarian tidak akan dibenarkan kembali ke kediaman lama mereka.

Tindakan itu masih dilaksanakan walaupun selepas Mahkamah Agung mengarahkan kerajaan mengemukakan jadual masa bagi membolehkan mereka pulang.

Dalam kenyataan video yang dirakam berhampiran kem pelarian Tulkarm di Tebing Barat yang diduduki, Netanyahu menyifatkan kem itu sebagai ‘kubu kuat pengganas’ dan memuji tentera Israel kerana menghapuskannya mengikut arahan yang diberikan.

“Saya mendapat tahu ada pihak di Mahkamah Keadilan Tinggi yang mengatakan penduduk perlu dibawa pulang ke sini. Mereka ini bukan penduduk, sebaliknya pengganas,” kata beliau.

Sejak Januari 2025, puluhan ribu penduduk Palestin dipindahkan dari tiga kem pelarian di utara Tebing Barat, iaitu Jenin, Nur Shams dan Tulkarm, selepas tentera Israel melancarkan operasi yang menurutnya bertujuan melumpuhkan infrastruktur kumpulan militan di kawasan berkenaan.PauseNextMute

Kebanyakan penduduk Palestin yang dipindahkan itu masih belum dapat kembali ke kediaman masing-masing.

Sementara itu, sumber perubatan mengumumkan pada Selasa bahawa jumlah kematian di Semenanjung Gaza sejak bermulanya serangan Israel pada 7 Oktober meningkat kepada 74,389 orang manakala 175,423 lagi cedera, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Sumber itu berkata tujuh mangsa maut, termasuk tiga yang meninggal dunia akibat kecederaan dan satu mayat yang ditemukan semula selain tujuh individu yang cedera dibawa ke hospital di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lalu.

Mereka memaklumkan bahawa jumlah kematian sejak gencatan senjata pada 11 Oktober 2025 mencecah 1,498 orang manakala 5,306 kes kecederaan direkodkan. Selain itu terdapat 838 syuhada yang mayat mereka ditemukan semula. – AGENSI