KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang sebelum ini didakwa terlibat dengan amalan ritual bukan Islam hingga tular di media sosial telah ditahan pihak berkuasa agama hari ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, individu bernama Aliff Daniel itu ditahan bersama ibunya selepas waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
“Penahanan individu berusia 21 tahun bersama ibunya berusia 51 tahun itu dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kuala Lumpur.
“Berdasarkan risikan JAIS, selepas kes melibatkan kedua-dua individu itu tular, JAIS dijangka memanggil sekurang-kurangnya 14 individu lain bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua individu itu kini disiasat oleh JAIS mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan supaya memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan dan melengkapkan siasatan.
“JAIS memandang serius perkara ini dan akan memastikan setiap tindakan diambil berdasarkan bidang kuasa, undang-undang dan fakta kes.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

