KUALA LUMPUR: Pengalaman luas dalam kancah bola sepak tempatan menjadi sandaran apabila bekas pengendali PDRM FC, P Maniam diberi kepercayaan membimbing skuad Malaysia Bawah 15 Tahun (B-15) di Piala Dunia B-15 FIFA 2026 di Baku, Azerbaijan.
Pelantikan jurulatih berusia 58 tahun itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi platform rasmi badan induk berkenaan, semalam, sekali gus menyaksikan beliau kembali menggalas tanggungjawab bersama skuad kebangsaan.
Maniam yang kini bertugas sebagai jurulatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-15 bukan asing dengan pembangunan pemain muda negara apabila pernah membimbing skuad Malaysia B-16 dari tahun 2019 hingga 2020.
Bekas pemain dan legenda Selangor itu turut mempunyai pengalaman membimbing beberapa kelab tempatan termasuk Selangor FC, Petaling Jaya City FC (PJ City FC), Harini FC, Petaling Jaya Rangers dan PDRM FC.
Seramai 22 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat yang dijadual bermula esok sebagai persiapan menghadapi kejohanan berkenaan.PauseNextMute
Edisi sulung kejohanan itu menggunakan format permainan lapan sebelah, dengan pasukan bertanding dalam peringkat kelayakan secara liga satu pusingan.
Malaysia diundi dalam Kumpulan H dan akan memulakan kempen menentang Dominica pada 24 Oktober, jam 2.15 petang waktu Malaysia, sebelum berdepan Syria pada 25 Oktober, jam 1 tengah hari, serta Ethiopia pada hari sama, jam 7.45 malam.
Skuad muda negara kemudian akan mengharungi dua lagi perlawanan pada 26 Oktober, menentang Hungary pada jam 3.30 petang dan Mexico pada jam 10.15 malam. Semua perlawanan Kumpulan H dijadual berlangsung di Hovsan Competition Complex.
Pengalaman Maniam diharap dapat membantu Harimau Muda mengharungi cabaran antarabangsa itu, selain memberi pendedahan berharga kepada pemain muda dalam usaha membina asas lebih kukuh untuk masa depan bola sepak negara.

