KYIV: Ukraine menuduh Amerika Syarikat (AS) membantu Russia kerana gagal memberi amaran mengenai serangan peluru berpandu yang bakal berlaku.
Kyiv menuduh bahawa berlaku perubahan pada sistem Starlink yang digunakan di medan perang, sehingga membataskan keupayaan tenteranya untuk bertindak balas lebih cepat.
Sehubungan itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menggesa jutawan teknologi AS, Elon Musk, memulihkan perkhidmatan Starlink yang menurut Kyiv kononnya kelajuan satelit internet itu diperlahankan.
Beliau menyifatkan musibah yang menimpa pihaknya adalah satu kesilapan atau mungkin masalah teknikal yang besar.
“Saya tidak tahu, tetapi kami meminta supaya perkhidmatan itu dihidupkan semula,” katanya kepada wartawan Britain, Piers Morgan semalam.
Bekas Menteri Pertahanan Ukraine, Mykhailo Fedorov, kemudian berkata operasi Starlink pada kelajuan sehingga 160 kilometer sejam (km/j) sedang dipulihkan.
“Dron serangan dan dron pemintas sepatutnya dapat terbang semula,” katanya.
Menurut Musk sebagai maklum balas kepada dakwaan itu, beliau menegaskan bahawa sebarang gangguan adalah tanggungjawab kerajaan AS, bukannya syarikatnya SpaceX.
Beliau berkata, wujud perbezaan sistem Starshield yang digunakan Ukraine untuk komunikasi di medan perang dengan sistem satelit awam Starlink yang turut digunakan Ukraine, tapi tidak dibenarkan untuk operasi serangan.
“Sistem Starshield dimiliki dan dikawal oleh kerajaan AS. Sebarang sekatan terhadap kelajuan atau penggunaan ditentukan oleh tentera AS dan akhirnya (diputuskan oleh) Presiden AS (POTUS),” kata Musk, merujuk kepada Presiden AS, Donald Trump.
Zelensky bersetuju apabila ditanya sama ada beliau berasa dikhianati selepas Trump mengumumkan perjanjian bekalan diesel dengan Moscow yang masih dikenakan sekatan berat oleh AS.

“Ia menyakitkan apabila Presiden Trump memilih satu pihak, bukannya pihak kami.
“Saya fikir penasihatnya silap. Saya tidak tahu siapa yang mendorongnya supaya tidak memilih pihak yang betul. Ini bukan pihak yang betul dalam sejarah,” katanya.
Zelensky sebelum ini menyifatkan kegagalan sekutunya memberi amaran mengenai gelombang serangan besar-besaran pada malam kelmarin hingga awal pagi semalam sebagai sama sekali tidak adil.
Pihaknya juga menuduh Russia sengaja melanggar gencatan senjata tenaga yang didakwa diumumkan secara sebelah pihak oleh Trump.
Seorang pegawai kanan di Kyiv mengesahkan, AS dalam beberapa hari kebelakangan ini mengancam untuk menghentikan perkongsian risikan mengenai pelancaran peluru berpandu Russia, yang digunakan Ukraine bagi mematahkan serangan.
Trump menafikan perkara itu kelmarin.
Pegawai pertahanan turut membayangkan Washington menjadi punca beberapa sambungan terminal internet mengalami penurunan kelajuan, yang digunakan untuk membantu tentera Ukraine menyerang wilayah yang diduduki Russia serta mengendalikan dron pemintas.
“Jelas sekali mereka (AS) membantu Russia atas sebab tertentu,” kata pegawai kanan terbabit.
Penasihat Zelensky, Sergiy Beskrestnov, pula berkata serangan berkenaan dan sekatan Starlink bukan sekadar kebetulan.
“Melalui tindakan mereka, sekutu kami menafikan salah satu daripada beberapa peluang yang kami ada untuk mempertahankan negara daripada dron Shahed berkuasa jet,” tulisnya di Telegram. – AFP

