Guru tuisyen ditahan, lima lelaki dikatakan mangsa amang seksual

KUALA LUMPUR – Seorang guru tuisyen ditahan bagi membantu siasatan kes persetubuhan luar tabii dan amang seksual membabitkan lima mangsa lelaki di sebuah rumah yang dijadikan pusat tuisyen.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima lima laporan berhubung kes berkenaan di Balai Polis Bukit Jalil, masing-masing pada 6 Oktober, 10 Oktober dan tiga laporan pada 11 Oktober lalu.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan dengan mengambil keterangan daripada ahli keluarga serta mangsa yang terlibat.

Katanya, ahli keluarga mangsa, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan.

“Suspek telah ditangkap dan kini berada dalam tahanan reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Polis memaklumkan siasatan masih diteruskan. – MalaysiaGazette