Perancis laksana perintah berkurung susulan protes

PARIS: Perancis akan melaksanakan perintah berkurung separa di beberapa kawasan mulai petang Isnin susulan insiden penjarahan ketika protes hujung minggu lalu, lapor Xinhua.

Perdana Menteri, Sebastien Lecornu berkata, beliau meminta pegawai wilayah melaksanakan perintah berkurung itu seawal petang Isnin kerana kekacauan tertumpu di kawasan bandar tertentu.

Beliau turut memaklumkan darurat akan diisytiharkan jika perlu, namun perintah berkurung dilihat lebih sesuai.

Beliau menegaskan kerajaan tidak akan membiarkan kegiatan penjarahan berterusan, manakala Kementerian Dalam Negeri akan mengeluarkan peta terperinci kawasan terbabit pada tengah hari Isnin.

Mulai Selasa, langkah pengurangan waktu bekerja sementara akan dikuatkuasakan bagi peniaga yang terjejas akibat kerosakan dan penjarahan.

Kerajaan juga akan menyediakan bantuan kewangan awam bagi menyokong perniagaan terbabit.

Lecornu menegaskan bantuan kewangan itu tidak akan bermakna sekiranya kerajaan gagal memulihkan ketenteraman dengan segera.

Menteri Perdagangan Perancis, Serge Papin menganggarkan sekurang-kurangnya 3,000 perniagaan terjejas akibat protes berkenaan.

Sabtu lalu, kira-kira 550,000 orang menyertai protes di seluruh Perancis.

Menurut angka Kementerian Dalam Negeri yang dikeluarkan pada Ahad, seramai 2,397 individu ditahan, manakala 997 anggota polis dan anggota pasukan keselamatan lain cedera, termasuk tujuh yang mengalami kecederaan serius.

ASTRO AWANI