KUANTAN: Polis menumpaskan sindiket pusat panggilan penipuan dalam talian atau phone scam menerusi lima operasi, masing-masing empat di daerah ini dan satu di Genting Highlands, Bentong dari 6 hingga 14 Oktober lalu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata dalam operasi terbabit, seramai 31 individu, masing-masing empat warga tempatan dan 27 warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket itu.
Katanya, warga asing yang ditahan adalah 25 warga China dan masing-masing seorang warga India dan Myanmar.
“Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya komputer, komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM4,850.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta peruntukan Akta Imigresen yang berkaitan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.
Azry Akmar berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai dijalankan secara terancang dengan pembahagian tugas tertentu.
Selain itu, katanya, kegiatan itu dilakukan dengan penggunaan akaun media sosial palsu, aplikasi komunikasi dan rangkaian internet bagi memperdaya mangsa serta menyembunyikan identiti sebenar.
“Antara modus operandi sindiket ialah penipuan pelaburan dalam talian, love scam dan penipuan tawaran pekerjaan sambilan dengan sasaran mangsa dari China, Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata, polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi menggunakan pusat panggilan serta pelbagai platform komunikasi dan media sosial.

