Kerjasama BN-PN beri manfaat dalam PRN Melaka – Wan Ahmad Fayhsal

KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) perlu mengakui kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) mampu memberi manfaat kepada semua pihak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata kekuatan PN di Melaka tidak harus dipandang rendah, dan gabungan itu mampu meningkatkan peluang menyaingi Pakatan Harapan (PH).

“Saya fikir BN boleh menarik nafas lega sedikit dan tidak perlu bimbang mengenai lapan hingga 10 kerusi yang kedudukannya agak goyah pada PRN sebelum ini.

“PN mempunyai kekuatan di Melaka dan perkara ini tidak seharusnya dipandang rendah,” katanya ketika ditemui.

Mengenai rundingan pembahagian kerusi bagi PRN Melaka, Ahmad Fayhsal berkata WAWASAN tidak menuntut jumlah kerusi yang banyak dan memahami bahawa Melaka kubu kuat BN.PauseNextMute

Katanya, parti itu memahami BN menerajui Melaka dan bersedia bertolak ansur demi perpaduan umat Islam, serta mampu membantu merapatkan jurang undi bagi BN dan PAS dalam usaha mencabar PH.

“Banyak kerusi dimenangi BN sebelum ini di Melaka ditentukan oleh majoriti tipis antara 300 hingga 500 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

“Kekuatan kami mampu membantu merapatkan jurang itu,” katanya.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bahawa penyokong PN diminta menyokong calon BN pada PRN Melaka, manakala penyokong BN turut diberi pilihan menyokong calon PN, Ahmad Fayhsal berkata WAWASAN akan memberikan sokongan sama.

Katanya, parti itu membina asas sokongannya sendiri, dengan 100,000 ahli di seluruh negara dan setiap kawasan Parlimen mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 ahli WAWASAN.