Lelaki warga China bawa 2 kg dadah dari Pulau Pinang, ditahan di Hong Kong

KUALA LUMPUR: Lelaki warga China yang tiba dari Pulau Pinang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong Khamis lalu, selepas dikesan membawa dua kilogram dadah disyaki kokain dalam bagasinya.

Kastam Hong Kong dalam kenyataan, semalam memaklumkan suspek berusia 25 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan terhadap bagasi daftar masuknya, menemukan dadah terbabit.

Suspek kemudian didakwa atas satu pertuduhan mengedar dadah berbahaya dan kes berkenaan dijadual disebut di Mahkamah Majistret Kowloon Barat, hari ini.

Kastam Hong Kong memaklumkan pihaknya akan terus memperketat penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah rentas negara melalui analisis risikan.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menerima tawaran membawa barangan terkawal atau barangan yang tidak diketahui kandungannya bagi pihak individu lain, termasuk sebagai balasan wang.PlayNextMute

Mengikut Ordinan Dadah Berbahaya Hong Kong, kesalahan mengedar dadah boleh membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan denda HK$5 juta (RM2.7 juta) jika sabit kesalahan.