Peneroka FELDA maut ditetak dengan kapak dalam kejadian amuk

KOTA TINGGI – Seorang peneroka maut selepas ditetak dengan senjata tajam dalam satu kejadian amukan di FELDA Lok Heng Selatan, di sini, petang tadi.

Difahamkan, insiden berlaku kira-kira pukul 7.30 petang berhampiran kawasan kediaman suspek

Menurut sumber, suspek dilaporkan mengamuk di tepi jalan dan bersenjatakan dipercayai sebilah kapak, menyebabkan penduduk sekitar tidak berani mendekati lokasi kejadian.

”Kejadian berlaku di tepi jalan dekat rumah suspek. Orang kampung tak berani bertindak kerana suspek memegang kapak dan sedang mengamuk,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, selepas bertindak menyerang mangsa, suspek terus melarikan diri dari lokasi menaiki sebuah motosikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan kenyataan rasmi berhubung kes berkenaan hanya akan dikeluarkan esok memandangkan siasatan lanjut sedang dijalankan.- MalaysiaGazette