KUALA LUMPUR – Peguam, Danial Farhan Zainul Rijal menyifatkan hukuman penjara terhadap suami yang didapati culas membayar nafkah mempunyai risiko tersendiri.
Sehubungan itu, katanya, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan pendekatan pemenjaraan sebagai kaedah penguatkuasaan nafkah tersebut.
Beliau turut memberikan gambaran sekiranya suami dipenjarakan kerana culas membayar nafkah ditempatkan dalam persekitaran penjara bersama pesalah jenayah berat seperti pengedaran dadah dan pembunuhan.
Lebih membimbangkan, ujarnya, pemenjaraan boleh menyebabkan seseorang kehilangan pekerjaan, pendapatan dan sumber rezeki.
Malah, tambah beliau, selepas dibebaskan, peluang kepada pesalah itu mendapatkan pekerjaan juga mungkin semakin sukar.
“Akhirnya, apa yang bekas isteri dan anak-anak dapat? Nafkah masih tidak dibayar, malah kemampuan bapa untuk membayar nafkah semakin terjejas,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Sebaliknya, tambah Danial Farhan, penguatkuasaan melalui prosiding hiwalah (garnisi); perintah pembayaran berjadual; penyitaan dan lelongan aset adalah lebih praktikal dalam menangani isu suami culas membayar nafkah.
Ini kerana menurutnya, matlamat utama dalam hukuman terhadap kesalahan itu sepatutnya memastikan nafkah benar-benar sampai kepada pihak yang berhak.
“Saya sama sekali tidak mempertahankan suami yang sengaja culas atau mengabaikan tanggungjawab.
“Mereka wajib bertanggungjawab dan tindakan undang-undang tetap perlu diambil.
“Namun, kita perlu membezakan antara menghukum seseorang dengan mendapatkan hak nafkah yang tertunggak,” katanya.
Tambahnya, undang-undang bukan sekadar instrumen penghukuman, tetapi juga instrumen penyelesaian.
“Apa gunanya seorang bapa dipenjarakan jika akhirnya bekas isteri tidak mendapat nafkah dan anak-anak terus menjadi mangsa?” katanya.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, bekas suami yang sengaja gagal mematuhi perintah pembayaran nafkah boleh berdepan tindakan penguatkuasaan termasuk potongan gaji, penyitaan dan penjualan harta, malah perintah pengkomitan ke penjara tertakluk kepada proses kehakiman.
Bercakap di Dewan Rakyat, Marhamah berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan sedang menyediakan cadangan pindaan terhadap Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah yang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan bagi memperkemas mekanisme penguatkuasaan terhadap pihak yang sengaja mengingkari perintah mahkamah. – MalaysiaGazette

