Seleweng akaun anak guam, hukuman 18 tahun bekas peguam kekal

KUALA LUMPUR: Bekas peguam gagal mengetepikan hukuman penjara 18 tahun dan 18 sebatan atas kesalahan menyeleweng lebih RM1 juta daripada akaun amanah anak guam.

Mahkamah Tinggi Tapah menolak rayuan Firdaus Rizal Abdul Manan, bagaimanapun mengetepikan hukuman denda RM90,000 yang dikenakan ke atas perayu.

Pesuruhjaya Kehakiman Zaman Mohd Noor yang membuat keputusan itu, memutuskan hukuman penjara 54 bulan jika perayu gagal membayar denda berkenaan, adalah keterlaluan.

Zaman mendapati hukuman penjara 18 tahun sudah memadai bagi kesalahan terbabit.

Peguam Firdaus Rizal, Khesminkapil Singh Dhanoa, mengesahkan keputusan itu ketika dihubungi hari ini.PauseNextMute

Beliau berkata, mahkamah mengekalkan hukuman penjara dan sebatan, namun membenarkan rayuan anak guamnya terhadap hukuman denda.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Faakihin Ahmad Pauzi, bertindak bagi pihak pendakwaan.

Pada 22 Disember tahun lalu, Firdaus Rizal yang juga bekas Ketua Bahagian BERSATU Teluk Intan, mengaku salah atas sembilan pertuduhan pecah amanah jenayah wang milik anak guamnya.

Mahkamah Sesyen Teluk Intan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun, dua sebatan dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda, bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Hakim Norhamizah Shaiffuddin memerintahkan hukuman penjara berjalan berturut-turut, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara ialah 18 tahun, 18 sebatan dan denda RM90,000.

Melalui alasan penghakimannya bertarikh 26 Januari lalu, Norhamizah berkata kesalahan dilakukan antara 2012 dan 2019 yang membabitkan kerugian kewangan yang besar.

Beliau berkata, Firdaus Rizal mempunyai banyak peluang untuk membetulkan kesalahan pecah amanah berkenaan, namun terus melakukannya.

Mahkamah turut mendapati tiada seorang pun mangsa yang berjaya mendapatkan semula wang mereka, manakala sebahagiannya sudah meninggal dunia tanpa sempat melihat keadilan ditegakkan.

Hakim memutuskan bahawa sembilan kesalahan itu tidak boleh diperlakukan sebagai satu transaksi tunggal kerana ia dilakukan pada masa berbeza membabitkan mangsa berlainan.