Wanita AS sertai IS didapati bersalah ikuti latihan ketenteraan

NEW YORK: Seorang wanita warga Amerika Syarikat (AS) yang menyertai IS sebelum ditangkap pasukan penentang di Syria, didapati bersalah oleh mahkamah semalam atas tuduhan mengikuti latihan ketenteraan daripada kumpulan militan berkenaan.

Halima Salman, 27, antara ratusan wanita warga asing yang pergi atau dibawa ke wilayah yang dikuasai kumpulan pengganas IS.

Mereka kemudian berkahwin dengan pejuang militan berkenaan dan seterusnya ditangkap serta ditahan sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal.

Nasib yang menimpa kumpulan wanita berkenaan bersama anak-anak mereka kini menjadi isu rumit bagi negara Barat yang juga tempat kelahiran mereka, dengan ramai antaranya terperangkap atau dilucutkan kewarganegaraan oleh kerajaan negara masing-masing.

Ibu Halima adalah warga AS dan keluarganya berlepas dari negara berkenaan ke Syria ketika dia masih kecil.PauseNextMute

Pendakwa Raya dalam satu kenyataan berkata, Halima didapati bersalah atas pertuduhan menerima latihan berunsur ketenteraan daripada IS ketika berusia 18 tahun, iaitu kesalahan yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Beliau bakal dijatuhi hukuman pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Pada usia 17 tahun, Halima mendaftar perjalanan ke wilayah yang dikuasai IS di Syria, sekitar akhir 2016 atau awal 2017, menerusi Russia dan Turkiye.

“Ketika berada di Syria, Halima dilatih menggunakan senapang dan menerima bekalan peluru daripada batalion ketenteraan IS pada usia 18 tahun,” menurut pihak pendakwa raya.

Menurut dokumen mahkamah, sepanjang berada di sana, beliau berkahwin dengan seorang pejuang IS berketurunan Jerman-Afghanistan yang dikenali sebagai Abu Ali.

Pada awal 2019, beliau ditahan pasukan tentera Syria yang menentang IS dan ditempatkan di sebuah kem penempatan semula sehingga 2024, sebelum pulang ke AS dan ditangkap.

“Dengan keputusan hari ini, Halima dipertanggungjawabkan atas tindakannya menyertai pertubuhan pengganas.

“IS merosakkan Syria dan mencetuskan kekacauan di seluruh dunia, pejabat kami akan terus mendakwa sesiapa sahaja yang menyokong pemerintahan berdarah kumpulan itu,” kata peguam AS, Joseph Nocella.

Bagaimanapun, peguam bela Salman mendakwa anak guamnya adalah ‘mangsa keadaan akibat perbuatan (suami ibunya) yang membawanya sejak kecil ke wilayah yang dikuasai IS di Syria. – AFP