Amir berguru di Jepun demi tiket Olimpik

KUALA LUMPUR: Jaguh judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed optimis mampu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 sama ada menerusi ranking dunia atau kuota benua Asia.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu berkata, dia sudah merangka perancangan bagi merealisasikan sasaran berkenaan, termasuk menyertai kejohanan yang menawarkan mata kelayakan Olimpik serta menjalani kem latihan di Jepun.

Misi bermula menerusi Terbuka Asia di Hong Kong pada 28 dan 29 November ini, diikuti Grand Slam Tokyo pada 5 dan 6 Disember sebelum menjalani kem latihan selama tiga minggu di Tokyo.

Amir berkata, rankingnya ketika ini masih sekitar kelompok 100 terbaik dunia selepas memberi tumpuan kepada Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang tidak menawarkan mata kelayakan Olimpik.

“Sekarang saya perlu menyertai lebih banyak kejohanan yang menawarkan mata. Jika berjaya meraih kemenangan, ranking boleh meningkat dan saya yakin mampu mencapai sasaran itu, insya-Allah,” katanya.

Berdasarkan sistem kelayakan Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF), 17 atlet terbaik dalam setiap kategori berat lelaki dan wanita akan memperoleh slot secara automatik menerusi ranking dunia, tertakluk kepada syarat maksimum seorang atlet bagi setiap negara dalam satu kategori.

Selain itu, 104 slot diperuntukkan menerusi kuota benua.

Asia menerima 24 slot, masing-masing 12 lelaki dan wanita, manakala Eropah mendapat 26, Afrika 24, Amerika 22 dan Oceania lapan slot.

Pengalaman di Sukan Asia Aichi-Nagoya bulan lalu turut menjadi pengajaran berharga buat Amir apabila hampir menewaskan bekas naib juara dunia Jepun, Sotaro Fujiwara, dalam pusingan 16 terbaik kategori bawah 81 kilogram (kg).

Amir berjaya mengunci Fujiwara selama 19 saat, namun gagal melengkapkan tempoh 20 saat untuk kemenangan penuh sebelum lawannya melakukan balingan ippon, sekali gus menamatkan cabarannya.

“Pengalaman sangat penting. Saya perlu lebih percaya kepada diri sendiri dan yakin mampu melakukan yang lebih baik dalam kejohanan akan datang.

“Saingan judo di Sukan Asia ibarat mini Olimpik kerana semua atlet terbaik berada di sini, termasuk juara dan pemenang pingat Olimpik,” katanya.

Penuntut tahun akhir Universiti Sains Malaysia (USM) itu kini mahu memanfaatkan kejohanan akan datang untuk melonjakkan ranking dunia, sekali gus membuka laluan merealisasikan impian beraksi di Los Angeles 2028.