KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memperincikan prosedur operasi standard (SOP) serta penyelarasan logistik bagi memastikan jentera bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN-13).
Timbalan Setiausaha Agung PBB, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, berkata taklimat kepada wakil semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu diadakan lebih awal bagi memastikan persiapan berjalan lancar.
Beliau berkata, taklimat itu diadakan atas arahan Setiausaha Agung PBB, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagi menyelaraskan urusan pentadbiran serta hubungan antara ibu pejabat parti, sekretariat dan bilik gerakan di setiap kawasan.
“Beberapa perkara disentuh, terutama aspek pentadbiran, hubungan sekretariat dengan bilik gerakan serta pengurusan bahan kempen.
“Kita mahu memastikan apabila tiba hari penamaan calon sehingga hari mengundi, semua jentera sudah bersedia melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas taklimat itu di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.PauseNextMute
Fazzrudin berkata, bahan kempen bagi menghadapi pilihan raya itu sudah disediakan, namun taklimat berkenaan belum membabitkan pengagihan bahan berkenaan kepada setiap kawasan
“Perbincangan hari ini tertumpu kepada perincian SOP, khususnya proses penghantaran bahan serta pengurusan logistik bagi mengelakkan sebarang kekeliruan ketika jentera parti sibuk menjalankan tugas pada hari penamaan calon,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan mengadakan perbincangan lebih awal diambil bagi mengelakkan kesukaran menyelaras persiapan sekiranya perkara berkenaan hanya dibincangkan pada saat akhir.
“Langkah ini juga memberi ruang kepada wakil setiap kawasan menyusun atur jentera masing-masing, selain memastikan urusan sekretariat dan penghantaran bahan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur,” katanya.
Fazzrudin berkata, taklimat itu khusus untuk kawasan DUN di bawah PBB, manakala perbincangan berkaitan aspek pentadbiran dan prosedur bersama parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) diadakan oleh Nanta.
Beliau berkata, maklum balas daripada wakil kawasan turut diambil bagi menambah baik SOP sedia ada, khususnya dalam aspek komunikasi, penyelarasan tugas dan pengurusan penghantaran bahan kempen menjelang PRN-13.

