MELAKA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menegaskan prestasi kerajaan negeri diukur dan dinilai oleh rakyat, bukannya seteru politik.
“Saya tak tahu daripada sudut mana dia (Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari,) mendapatkan dapatan-dapatan itu, tapi saya tak nak ulas kerana beliau juga pernah jadi Ketua Menteri dan saya pun tak nak ulas masa dia jadi Ketua Menteri apa dia buat.
“Jadi, lebih baiklah kita cerminkan diri kita supaya kita tahu apa yang kita buat untuk rakyat. Saya ingat warga Melaka tahu apa yang kita buat. Yang tak tahu dia,” katanya demikian ketika mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, di sini, hari ini.
Terdahulu, Adly dalam satu kenyataan antara lain mempersoal prestasi pentadbiran BN Melaka meskipun memperoleh mandat besar apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Adly berkata, BN perlu memperjelas pencapaian pentadbirannya sepanjang diberikan mandat besar, bukan sekadar meminta pengundi hanya terus percaya tanpa keluhan mereka ditangani.PlayNextMute
Katanya, mandat hampir 75 peratus kerusi DUN sepatutnya diterjemahkan kepada penyelesaian masalah rakyat, khususnya berkaitan perumahan, kebajikan dan peluang pekerjaan.
Beliau mendakwa, isu banjir berulang, sistem perparitan, lampu jalan dan penyelenggaraan kemudahan awam, khususnya Melaka Sentral, masih membelenggu rakyat.
Ab Rauf berkata, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil itu perlu mencerminkan diri.
“Biar orang lain buat. Kita hanya bercerita mengenai apa yang telah kita laksanakan kepada rakyat dan apa yang rakyat dapat dalam kita menguruskan negeri ini selama lima tahun.
“Saya tengok rata-rata gambaran yang diberikan semalam oleh rakyat pada hari penamaan calon, dengan ribuan yang datang menyokong, menggambarkan semangat untuk kita kembali semula memerintah amat besar,” katanya.

