Tidak perlu kaffarah jika termakan ayam tak halal – Mufti P.Pinang

GEORGE TOWN – Umat Islam yang pernah memakan ayam disyaki tidak disembelih mengikut hukum syarak tanpa mengetahui status sebenar bekalan itu tidak menanggung dosa malah tidak diwajibkan membayar kaffarah atau menggantikan makanan yang telah dimakan.

Kaffarah bermaksud amal atau denda tertentu (seperti berpuasa, memberi makan orang miskin atau memerdekakan hamba) yang dilakukan untuk menghapus dosa.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, perkara itu termasuk bagi mereka yang telah memakan ayam berkenaan berulang kali atau dalam tempoh yang panjang sekiranya benar-benar tidak mengetahui status sebenar makanan terbabit.

Menurutnya, umat Islam juga tidak perlu bimbang seluruh tubuh badan menjadi haram atau ibadah yang dilakukan selama ini terbatal hanya kerana pernah memakan makanan tidak halal tanpa pengetahuan.

“Umat Islam yang pernah membeli dan memakan ayam tersebut dalam keadaan tidak mengetahui bahawa ia sebenarnya tidak disembelih mengikut hukum syarak, tidak menanggung dosa atas perbuatan yang dilakukan tanpa sengaja itu.

“Mereka juga tidak diwajibkan membayar kaffarah, menggantikan makanan yang telah dimakan atau melakukan amalan tertentu untuk menyucikan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan berhubung rampasan kira-kira 6.5 tan ayam di Puchong, Selangor yang disyaki tidak disembelih mengikut hukum syarak khususnya dakwaan ayam berkenaan mati akibat proses rendaman air panas sebelum disembelih.

Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, haiwan halal dimakan seperti ayam mestilah disembelih ketika masih hidup dengan memenuhi syarat penyembelihan yang ditetapkan syarak.

Katanya, sekiranya ayam telah mati akibat rendaman air panas atau renjatan elektrik sebelum disembelih, haiwan itu dikategorikan sebagai bangkai dan haram dimakan.

“Proses memotong leher ayam selepas kematiannya tidak menjadikan daging tersebut halal. Umat Islam yang sudah mengetahui dan mendapat pengesahan bahawa sesuatu bekalan ayam tidak halal wajib berhenti daripada memakannya.

“Bagaimanapun, masyarakat tidak seharusnya terus membuat kesimpulan bahawa semua ayam yang pernah diproses oleh premis berkenaan sepanjang tempoh operasinya adalah bangkai kerana perkara itu perlu dibuktikan melalui siasatan pihak berkuasa,” katanya.

Tambah beliau, Islam tidak membebankan seseorang untuk menyiasat semula setiap makanan yang pernah dimakannya, lebih-lebih lagi apabila makanan tersebut diperoleh daripada sumber yang pada zahirnya dipercayai halal.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam memilih sumber makanan khususnya ayam dan daging dengan mengutamakan pembekal yang mempunyai pensijilan halal sah serta sumber bekalan yang jelas.

“Orang ramai tidak seharusnya hanya bergantung kepada pengakuan penjual atau menganggap sesuatu makanan pasti halal semata-mata kerana pemilik premis beragama Islam.

“Pemilik restoran dan peniaga makanan juga diingatkan supaya bertanggungjawab memastikan bekalan ayam yang digunakan benar-benar disembelih mengikut hukum syarak.

“Keuntungan perniagaan tidak boleh mengatasi hukum Allah SWT dan hak pengguna Islam,” katanya. – MalaysiaGazette