BATU PAHAT – Tayar pecah menjadi punca sebuah lori hilang kawalan sehingga menghempap kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki sebuah keluarga di Kilometer 8.5, Jalan Yong Peng–Muar di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan pukul 12.30 tengah hari itu mengorbankan pasangan suami isteri, manakala dua anak mereka cedera.
“Kejadian berlaku semasa sebuah MPV dari arah Yong Peng sedang menghala ke arah Parit Sulong dan apabila tiba di tempat kejadian iaitu semasa di laluannya, tiba-tiba datang sebuah lori dari arah bertentangan yang terbabas sehingga menghempap kenderaan MPV dipercayai berpunca tayar pecah.
“Akibat perlanggaran tersebut menyebabkan pemandu MPV iaitu Mohd Hardi Mohd Husin, 46, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, kedua-dua belah tangan dan turut melecur di bahagian anggota badan.

“Isterinya, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, organ dalaman dan turut melecur di bahagian anggota badan,” katanya dalam kenyaan malam ini.
Beliau memberitahu, kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi penumpang dalam MPV tersebut iaitu seorang kanak-kanak perempuan iaitu anak angkat pasangan itu, 11, mengalami kecederaan luka dan melecur pada anggota badan.
Jelasnya, seorang kanak-kanak lelaki iaitu anak kandung mereka berusia lapan tahun mengalami kecederaan luka dan melecur pada bahagian kaki serta cedera luka di kepala.
Kata beliau, kedua-duanya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk rawatan.

Sementara itu, tambahnya, pemandu lori iaitu seorang warga tempatan berusia 30 tahun mengalami kecederaan luka di mata kanan dan pendarahan di paru-paru kiri dan kini menerima rawatan di HSNI.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Terdahulu portal ini melaporkan suami isteri terbabit maut manakala dua anaknya cedera selepas kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan tar dalam kejadian tengah hari tadi.- MalaysiaGazette

