SEKURANG-KURANGNYA enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan saingan sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, dengan parti politik bertanding berusaha mempertahan atau merampas kerusi berkenaan.
Sebahagian besar kerusi DUN berkenaan, dimenangi parti penyandang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021 dengan majoriti tipis, sementara simulasi keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2022 pula melihatkan kerusi itu beralih tangan.
Kerusi terbabit ialah DUN Pangkalan Batu, Duyong, Klebang, Bukit Katil, Sungai Udang dan Machap Jaya. DUN Pengkalan Batu antara kerusi sengit selepas Barisan Nasional (BN) yang merampasnya dari DAP pada 2021, hanya menang dengan majoriti 131 undi. Kali ini, DUN berkenaan menyaksikan saingan empat penjuru antara BN, BERSATU, Parti Bersama Negara (BERSAMA) dan Pakatan Harapan (PH).

Kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) memberi kelebihan kepada Siti Aisyah Mahmood, namun kemunculan BERSATU menampilkan calon cukup dikenali penduduk setempat sebagai ‘YB tembak babi’, Datuk Norhizam Hassan Baktee berupaya menggugat sekali gus memecahkan undi Melayu. Norhizam yang pernah menyandang kerusi DUN berkenaan sebelum ini bertanding atas tiket Bebas dalam PRN 2021 serta berjaya memperoleh undi memberangsangkan, 1,218 undi.
Pertembungan UMNO dan DAP di DUN Duyong juga menarik, dengan BN mempertaruh penyandang, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem. Mohd Noor Helmy memiliki populariti tersendiri dalam kalangan penduduk setempat, namun cabaran utama kali ini untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu.

Sejak 1995 hingga 2018, DUN Duyong diwakili wakil rakyat bukan Melayu, dengan MCA menyandang kerusi berkenaan selama empat penggal hingga 2008, sebelum DAP menguasai selama dua penggal sejak 2013 hingga 2018, kemudiannya dirampas UMNO dan BN pada 2021.
Persaingan empat penjuru di DUN Kelebang, dengan penampilan calon BERSATU yang juga bekas Ketua UMNO Tangga Batu yang juga bakas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, berupaya memecah undi Melayu khususnya dalam kalangan penyokong UMNO dan BN.
BN menampilkan penyandang, Datuk Lim Ban Hong perlu berusaha mengembalikan penguasaan di dua pusat daerah mengundi (PDM) jika mahu kekal di DUN berkenaan, iaitu Kampung Pinang dan Kelebang Besar. PDM itu beralih tangan atau BN tewas dalam simulasi PRU Ke-15.
Selain itu, BN perlu memastikan sokongan pengundi Melayu di PDM Seberang Gajah dan Bukit Rambai terus kekal berpihak kepadanya. Baki tiga PDM majoriti Cina, iaitu Pulau Gadong, Pekan Kelebang Besar dan Kelebang Kechil, dijangka akan terus menjadi sandaran penting PH terus meraih undi tinggi seperti pernah dicapainya pada PRN 2021 dan PRU 2022.
BN yang memberi laluan kepada PAS menampilkan calonnya, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif membuka saingan sengit di DUN Bukit Katil. Pengerusi PH Melaka yang juga penyandang dua penggal DUN, Adly Zahari perlu memastikan penguasaan penuh PH di enam dari lapan PDM yang ada tidak berubah, sekaligus memberi keyakinan gabungan itu terus menguasai DUN berkenaan kali ini.
Namun, jika undi penyokong BN dan PN berjaya memperoleh undi tinggi atau merampas sebahagian besar PDM dikuasai PH sebelum ini, termasuk mengekalkan penguasaan di dua PDM iaitu Bukit Pulau dan Kampung Bukit Katil, PH bakal tergugat dan peralihan kemenangan diramal boleh berlaku di kerusi ini. BERSATU yang mempertaruh Mejar (B) Abdullah Mahadi di DUN Sungai Udang terus berusaha meraih sokongan pengundi tentera yang membentuk majoriti pengundi di sana.
Perpecahan dalaman
Perpecahan dalaman yang berlaku di antara mereka dengan Parti Wawasan Negara (WAWASAN), mengheret risiko kepada kemungkinan berlakunya peralihan dan perpecahan undi dalam kalangan penyokong PN.
Jika perpecahan undi penyokong PN berlaku, BN menerusi calonnya, Datuk Rais Yasin yang berpindah dari DUN Paya Rumput dilihat memiliki peluang lebih baik untuk merangkul keyakinan khususnya dalam kalangan penyokong PAS dan WAWASAN serta pengundi tentera.
DUN Machap Jaya terus menjadi taruhan sengit dalam kalangan calon bukan Melayu. BN yang mempertaruh penyandang, Datuk Ngwe Hee Sem, sekali lagi berdepan ‘seteru’ politiknya iaitu Ketua Penerangan Wanita PKR, Datuk Ginie Lim Siew Lin. Namun, penampilan bekas Ketua AMK Melaka yang bertanding atas tiket BERSAMA, Prasanth Kumar Brakasam, juga meresahkan kedudukan PH.
Jika undi penyokong PH khususnya PKR berpecah dengan sebahagian memihak kepada BERSAMA, peluang menjadi tipis untuk gabungan itu cuba merampas DUN berkenaan kali ini.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub yakin saingan sengit di beberapa kerusi DUN ini, menyaksikan jentera dan calon parti bertanding akan menggunakan segala kaedah yang ada untuk meraih sokongan, khususnya pengundi atas pagar.
Beliau berkata, kempen media sosial menjadi platform penting calon menyampaikan hasrat serta meraih sokongannya, namun pendekatan fizikal masih berupaya mempengaruhi kecenderungan arah mengundi.
“Sentuhan emosi dengan pergi ke kampung-kampung, jumpa atuk dan nenek. Selain duduk di warung dan tepi pantai boleh menyentuh emosi penduduk dan pengundi seterusnya psikologi politik itu akan mempengaruhi kecenderungan pengundian,” katanya.

