Kemenangan Lula imbangi pengaruh Israel di Amerika Selatan

KEMENANGAN Luiz Inacio Lula da Silva pada Pilihan Raya Presiden Brazil pada 25 Oktober lalu membawa implikasi penting terhadap landskap geopolitik Amerika Selatan, khususnya hubungan rantau itu dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS).

Kejayaan Lula menewaskan Flavio Bolsonaro dengan 51.79 peratus undi bukan sekadar kesinambungan kepemimpinan Parti Pekerja (PT), malah memperlihatkan sokongan terhadap pendekatan dasar luar Brazil menekankan multilateralisme, kedaulatan negara dan kerjasama Selatan-Selatan.

Kemenangan itu turut mempunyai kepentingan kepada Malaysia yang selama ini konsisten memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Di bawah kepemimpinan Lula, Brazil mengambil pendirian kritikal terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada kerjasama diplomatik kedua-dua negara.

Sejarah politik Amerika Selatan memperlihatkan persaingan berterusan antara golongan kiri dan kanan. Gelombang kebangkitan kiri atau ‘pink tide’ pada awal abad ke-21 membawa agenda keadilan sosial, pengagihan kekayaan dan autonomi daripada pengaruh kuasa besar.PauseNextMute

Namun, perubahan ekonomi, isu keselamatan, inflasi dan ketidakpuasan rakyat turut menyebabkan kebangkitan semula kerajaan konservatif

Dalam konteks ini, Brazil mempunyai kedudukan strategik sebagai kuasa ekonomi terbesar Amerika Selatan. Ketika pentadbiran Jair Bolsonaro (2019-2022), hubungan Brazil dengan Israel semakin rapat, didorong hubungan politik dengan Benjamin Netanyahu serta sokongan sebahagian kelompok evangelikal.

Sebaliknya, Lula mengambil pendekatan lebih kritikal terhadap dasar Israel, khususnya selepas tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023.

Kerajaan Lula mengecam operasi ketenteraan Israel dan memanggil pulang dutanya dari Tel Aviv pada Mei 2024. Pendirian ini mencerminkan penekanan Brazil terhadap undang-undang antarabangsa, penyelesaian dua negara dan perlindungan hak rakyat Palestin.

Bagaimanapun, hubungan ekonomi serta kerjasama teknologi, pertanian dan keselamatan antara Brazil dengan Israel tidak semestinya terputus akibat perubahan kepimpinan.

Hubungan tak seragam dengan Israel

Perkembangan di Colombia dan Venezuela turut memperlihatkan perubahan orientasi politik memberi kesan kepada hubungan dengan Israel.

Colombia di bawah Gustavo Petro mengambil pendirian keras terhadap tindakan Israel di Gaza sehingga memutuskan hubungan diplomatik pada Mei 2024. Namun, perubahan kepemimpinan melalui pilihan raya 2026 membuka kemungkinan pemulihan hubungan dengan Israel.

Venezuela pula sejak era Hugo Chavez mengambil pendekatan anti-imperialisme dan menyokong perjuangan Palestin sehingga memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel pada 2009.

Perubahan kepemimpinan pada 2026 membuka ruang penyusunan semula hubungan negara itu dengan Washington dan Tel Aviv.

Perbandingan ini menunjukkan pengaruh Israel di Amerika Selatan tidak bersifat seragam. Hubungan setiap negara dipengaruhi kepentingan domestik, keselamatan, ekonomi dan orientasi politik pemerintahannya.

Justeru, kemenangan Lula boleh dianggap sebagai pengurangan relatif kepada peluasan pengaruh politik Israel di Brazil, tetapi bukan bermakna Israel kehilangan seluruh kepentingannya di rantau berkenaan.

Bagi Malaysia, kesinambungan kepemimpinan Lula memberikan peluang memperkukuh hubungan dengan kuasa ekonomi terbesar Amerika Selatan. Kedua-dua negara mempunyai persamaan memperjuangkan hak rakyat Palestin, pembaharuan tadbir urus global dan kepentingan negara membangun.

Hubungan ini diperkukuh melalui pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Lula pada Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro pada November 2024.

Kedua-dua pemimpin menyuarakan sokongan terhadap gencatan senjata di Gaza, bantuan kemanusiaan dan penubuhan negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Lawatan rasmi Lula ke Malaysia pada 25 hingga 27 Oktober 2025 pula memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui, pertanian, pendidikan dan teknologi.

Kesepakatan ini membuktikan hubungan Malaysia-Brazil tidak hanya bergantung kepada isu Palestin, sebaliknya mempunyai kepentingan ekonomi dan strategik yang lebih luas.

Anwar berhasrat terus kukuhkan hubungan

Kemenangan Lula pada Oktober lalu disambut baik Anwar yang menyatakan hasrat meneruskan pengukuhan perdagangan, pelaburan dan hubungan ASEAN-Amerika Selatan.

Kesinambungan hubungan kedua-dua pemimpin ini memberikan Malaysia rakan diplomatik berpengaruh untuk memperluas sokongan terhadap perjuangan Palestin di luar lingkungan ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Brazil juga mempunyai kedudukan penting dalam BRICS, G20 dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Kedudukan ini membolehkannya membawa isu Palestin ke pelbagai forum antarabangsa.

Bagaimanapun, BRICS bukan pakatan anti-Israel kerana setiap anggotanya mempunyai kepentingan dan pendekatan tersendiri terhadap negara itu.

Kerjasama Malaysia-Brazil seharusnya dimanfaatkan untuk memperkukuh suara Selatan Global dalam menuntut pematuhan undang-undang antarabangsa, perlindungan orang awam dan penyelesaian konflik secara adil.

Pada masa sama, potensi perdagangan, keterjaminan makanan, industri halal dan teknologi perlu diberikan perhatian supaya hubungan kedua-dua negara menghasilkan manfaat nyata.

Kemenangan Lula memperlihatkan Amerika Selatan terus menjadi rantau mempunyai pelbagai orientasi politik dan diplomatik.

Brazil memilih meneruskan pendekatan autonomi dasar luar tanpa memutuskan hubungan dengan AS atau rakan ekonomi lain, sebaliknya memperluas kerjasama dengan negara membangun.

Bagi Malaysia, kesinambungan kepimpinan Lula menyediakan ruang memperkukuh diplomasi Palestin, kerjasama ekonomi dan hubungan antara Asia Tenggara dengan Amerika Selatan.

Namun, hubungan erat kedua-dua negara tidak semestinya mampu mengubah dasar Israel atau menamatkan konflik Palestin secara bersendirian.

Keberkesanan kerjasama ini akhirnya bergantung kepada keupayaan kedua-dua negara menterjemahkan persefahaman politik kepada tindakan diplomatik, ekonomi dan kemanusiaan yang berkesan.

Kesan terpenting kemenangan Lula kepada Malaysia ialah kesinambungan rakan strategik yang berkongsi aspirasi memperjuangkan keadilan antarabangsa.

Kejayaan hubungan Malaysia-Brazil harus diukur melalui hasil kerjasama memberi manfaat kepada rakyat dan menyumbang kepada penyelesaian adil bagi Palestin, bukan sekadar keakraban peribadi antara pemimpin atau persamaan retorik politik.

Penulis adalah Pengerusi Eksekutif, Yayasan IDE Madani