WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam mempertimbangkan semula pendiriannya untuk meneruskan ancaman melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran.
Difahamkan, beliau meragui rancangan untuk melancarkan serangan baharu, sambil menyatakan kemungkinan perjanjian dengan Tehran dapat dicapai.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Trump beberapa kali menyatakan kemungkinan serangan ke atas Iran disambung semula selepas pilihan raya pertengahan penggal AS yang berlangsung Selasa.
Bagaimanapun, selepas menyampaikan ucapan di Washington Reflecting Pool semalam, beliau memberi petunjuk bahawa tindakan itu mungkin tidak diteruskan.
Ketika ditanya pemberita sama ada AS akan menyerang Iran selepas pilihan raya berkenaan, Trump menjawab: “Tidak”.PauseNextMute
Peperangan dengan Iran menjadi antara punca utama kenaikan harga petrol yang membebankan rakyat AS, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Trump supaya menamatkan konflik berkenaan.
Trump berkata, beliau percaya Iran mahu mencapai persetujuan dan perjanjian antara kedua-dua negara masih berpeluang dimeterai.
Naib Presiden AS, JD Vance, turut memaklumkan beberapa perbincangan positif sudah diadakan dengan pihak Iran.
“Presiden dan saya berasa agak yakin dengan prospek untuk mencapai penyelesaian melalui rundingan. Kami akan terus berusaha ke arah itu,” katanya.
Bagaimanapun, Trump menegaskan AS tetap berpegang pada pendirian bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear.
“Kami tidak akan membenarkan Iran memiliki senjata nuklear pada bila-bila masa dan mereka memahami perkara itu. Mereka sudah memahaminya dan turut menyatakannya baru-baru ini,” katanya.
“Jika kami membenarkan Iran memiliki senjata nuklear, negara ini tidak mungkin dapat berfungsi seperti biasa. Seluruh dunia akan berubah,” katanya.
Trump turut menegaskan operasi ketenteraan AS itu tidak boleh dianggap sebagai peperangan kerana tiada pertempuran besar berlaku sejak kebelakangan ini, susulan serangan besar-besaran beberapa bulan lalu yang mengorbankan beberapa pemimpin Iran.
“Kami menghapuskan pemimpin mereka, bermula daripada peringkat tertinggi, diikuti peringkat kedua. Mereka meminta kami supaya berhenti berbuat demikian dan kami akan berbuat demikian,” katanya.
Trump menyentuh mengenai Iran dalam ucapan yang disifatkan sebagai hujah penutup beliau untuk meraih sokongan pengundi menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS hari ini.
Rundingan Iran berada di Doha pada Ahad bagi hari ketiga berturut-turut untuk mengadakan perbincangan dengan pengantara Qatar, bertujuan mencapai persetujuan bagi menamatkan peperangan. – REUTERS

