KAJANG: Hantaran tular yang mendakwa seorang remaja perempuan maut akibat terkena renjatan elektrik ketika menggunakan kerusi urut di sebuah pusat beli-belah disahkan palsu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, hasil siasatan mendapati tiada kejadian seperti yang didakwa berlaku.
“Kami turut menerima satu laporan berkaitan dakwaan palsu itu jam 7.50 malam tadi (semalam) berkaitan satu pautan di laman sosial Facebook yang memaparkan hantaran terbabit.
“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan berkaitan perkara itu dinasihatkan supaya merujuk saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerusi talian 03-8911 4222.
SUMBER : BULETIN TV3
Selamanya Malaysia

