ANTARA kayu gaharu yang dirampas dalam serbuan di Kampung Baharu Cherang Hangus, Chicha Tinggi, di sini, petang semalam. FOTO PGA.
PASIR MAS: Dua wanita ditahan selepas polis merampas kayu gaharu bernilai RM3.47 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Baharu Cherang Hangus, Chicha Tinggi, di sini, jam 5 petang semalam.
Serbuan menerusi Op Taring Wawasan itu dilakukan anggota Cawangan Risik, Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan bantuan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam.
Katanya, hasil pemeriksaan di dalam rumah, stor dan sebuah kilang lama bersebelahan kediaman itu menemukan 197 batang kayu gaharu serta 310.8 kilogram kepingan kayu gaharu, selain tujuh tong plastik dan 11 dokumen.
“Kedua-dua wanita berusia 19 dan 54 itu ditahan selepas mengemukakan dokumen berkaitan pemilikan barangan berkenaan yang meragukan.
“Tangkapan dan rampasan kemudian diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lokasi berkenaan dipercayai beroperasi sejak 2000 dan pernah mempunyai lesen untuk mengumpul kayu gaharu.
“Bagaimanapun, lesen dan permit memindah kayu berkenaan didapati sudah ditamatkan oleh Jabatan Perhutanan pada 2016.
“Pemilik asal kilang sudah meninggal dunia pada September lalu dan kesemua kayu gaharu diuruskan dan dijaga sepenuhnya oleh keluarganya.
“Kayu gaharu itu dipercayai diperoleh daripada hutan dan tanah milik persendirian sekitar Kelantan sejak 2016,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) kerana menyimpan kayu gaharu tanpa lesen atau permit yang sah.
SUMBER : BULETIN TV3
Selamanya Malaysia

