Kebebasan hakim bukan keistimewaan, tetapi perlindungan rakyat

KEHADIRAN Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh ke Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2 November lalu detik amat bermakna dalam sejarah pengembangan wacana ilmu di universiti ini.

Melalui Syarahan Kehormat bertajuk Public Trust and Judicial Independence: Why It Matters to the Nation di Dewan Mu’adzam Shah, UUM bukan sahaja menerima kunjungan tokoh tertinggi institusi kehakiman negara, malah memperoleh peluang istimewa untuk meneliti persoalan yang menyentuh asas keadilan, demokrasi dan masa depan Malaysia.

Majlis anjuran Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), UUM ini bertambah istimewa dengan keberangkatan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Turut hadir ialah Hakim Utama Mahkamah Tinggi Alor Setar, Dr John Lee Kien How @ Muhammad Johan Lee; Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr Mazlan Yusoff; warga universiti, ahli akademik, mahasiswa dan tetamu kehormat.

Sebagai Naib Canselor, saya melihat pertemuan antara institusi diraja, kehakiman dan universiti ini sebagai penghormatan cukup besar kepada seluruh warga UUM.

Dalam syarahannya, Wan Ahmad Farid membuka perbincangan dengan satu persoalan yang amat dekat dengan kehidupan rakyat, iaitu kepada siapakah seseorang harus berpaling apabila tanahnya diambil, pekerjaannya hilang secara tidak adil atau kebebasannya terancam?

Jawapannya ialah mahkamah. Ini kerana rakyat mengharapkan pertikaian didengar tanpa rasa takut dan diputuskan tanpa memihak.

Hujah ringkas tetapi mendalam ini meletakkan kepercayaan awam sebagai asas kewibawaan institusi kehakiman manakala kebebasan hakim menjadi syarat untuk mempertahankan kepercayaan tersebut.

Beliau kemudiannya menghuraikan doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Walaupun prinsip itu tidak dinyatakan dalam satu peruntukan khusus Perlembagaan Persekutuan, susunan dan semangat Perlembagaan mewujudkan mekanisme semak dan imbang.

Dengan merujuk kes PP v Kok Wah Kuan dan Gobind Singh Deo v Yang di-Pertua, Dewan Rakyat, beliau menegaskan mahkamah mempunyai peranan memastikan kuasa digunakan dalam batas undang-undang.

Pengadil pertahankan keluhuran Perlembagaan

Mahkamah bukan musuh kerajaan, sebaliknya pengadil mempertahankan keluhuran Perlembagaan.

Satu peringatan penting dalam syarahan itu ialah perbezaan antara mengubah undang-undang melalui proses sah dengan cuba mengubah keputusan kehakiman melalui tekanan terhadap hakim.

Parlimen boleh menggubal atau meminda undang-undang menurut proses Perlembagaan, namun kebebasan institusi kehakiman tidak boleh dikorbankan demi kepentingan sementara.

Beliau turut mengangkat pengalaman kes Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN) yang memperlihat bagaimana keputusan mahkamah boleh mendorong tindak balas perundangan.

Pengajaran yang harus kita fahami ialah perubahan dasar mesti berlaku secara terbuka dan berlandaskan peraturan, bukannya dengan melemahkan institusi menjalankan semakan.

Kematangan demokrasi lahir daripada penghormatan terhadap sempadan kuasa, bukan daripada keinginan menguasai semua institusi.

Apa menjadikan syarahan ini begitu berkesan ialah kemampuan Ketua Hakim Negara menghubungkan prinsip Perlembagaan dengan nasib rakyat biasa.

Rakyat perlukan mahkamah bebas

Beliau mengemukakan contoh pemilik tanah yang menuntut pampasan adil, individu yang mencabar penahanan tidak sah, pekerja yang diberhentikan secara tidak wajar dan pengguna yang ditipu.

Hak yang dijamin, termasuk di bawah Perkara 5 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, hanya benar-benar bermakna apabila terdapat mahkamah bebas yang sanggup menguatkuasakannya.

Dalam erti kata lain, kebebasan kehakiman bukan keistimewaan hakim, tetapi perlindungan untuk rakyat.

Beliau turut menyerlahkan kaitan langsung kebebasan kehakiman dengan pembangunan ekonomi.

Pelabur tempatan dan asing memerlukan jaminan pertikaian kontrak serta urusan perdagangan akan diselesaikan secara adil, konsisten dan tanpa campur tangan.

Kepercayaan kepada mahkamah, justeru, sama pentingnya dengan penyediaan prasarana fizikal dalam membina keyakinan pelaburan.

Dalam keadilan jenayah pula, beliau mengingatkan sesuatu sabitan mesti terhasil melalui pertuduhan, perbicaraan dan penilaian bukti adil, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh tertuduh.

Lebih menggugah pemikiran, Ketua Hakim Negara turut memperingatkan apabila masyarakat hilang kepercayaan kepada mahkamah, kesannya menjalar kepada keyakinan terhadap penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran dan keseluruhan sistem demokrasi.

Penghakiman berasas fakta, terbuka dikritik

Kepercayaan tidak boleh dituntut secara automatik; institusi kehakiman perlu memperolehnya melalui penghakiman berasaskan fakta dan undang-undang, keputusan dalam tempoh munasabah serta keterbukaan kepada kritikan yang adil.

Pesanan ini memperlihatkan kewibawaan sesebuah institusi dibina melalui integriti konsisten.

Bagi UUM, peluang mendengar sendiri pandangan Ketua Hakim Negara menjadi pengalaman pembelajaran tidak ternilai.

Mahasiswa undang-undang dapat menghubungkan teori kuliah dengan pemikiran pemimpin tertinggi badan kehakiman, manakala mahasiswa bidang pengurusan, politik dan pentadbiran awam dapat memahami pentingnya akauntabiliti serta etika dalam kepemimpinan.

Pensyarah pula diingatkan mengenai amanah membina generasi profesional berani mempertahankan fakta, kebenaran dan prinsip keadilan.

Dialog sebegini juga memperlihatkan fungsi universiti sebagai jambatan antara institusi negara dengan masyarakat, tempat gagasan besar dapat dibahaskan secara matang dan bertanggungjawab.

Saya merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Wan Ahmad Farid atas kesudian hadir dan berkongsi ilmunya, kepada Raja Muda Kedah atas limpah perkenan berangkat serta kepada SOL dan semua petugas yang menjayakan majlis.

Semoga syarahan ini bukan sekadar kenangan sebuah acara berprestij, tetapi menjadi titik tolak kepada budaya ilmu yang lebih kritis, warga yang lebih berintegriti dan komitmen berpanjangan untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang demi negara.

Penulis adalah Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (UUM)