Ketiadaan pemain JDT peluang muka baharu buktikan kemampuan

KUALA LUMPUR: Ketiadaan kelibat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam senarai panggilan skuad kebangsaan kali ini tidak wajar dilihat dari sudut negatif, sebaliknya boleh dianggap sebagai ‘rahmat tersembunyi’ buat pemain lain untuk mempamerkan kemampuan sebenar di pentas antarabangsa.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus berpandangan situasi itu membuka ruang seluas-luasnya apabila dominasi biasa skuad Harimau Selatan dalam senarai utama dapat ‘dipecahkan’ untuk dua aksi berdepan China dan Yaman.

Mohd Fauzi Pilus. - Foto fail NSTP
Mohd Fauzi Pilus. – Foto fail NSTP

Jelas bekas Pengarah Teknikal PDRM FC itu, perkembangan ini memberi peluang keemasan kepada barisan kejurulatihan untuk menilai lambakan bakat baharu yang menyinar dalam saingan liga domestik.PlayNextMute

“Saya lihat ini antara peluang untuk barisan kejurulatihan mendapatkan dan menguji pemain-pemain baharu dalam liga kita, selain daripada pemain JDT yang kita tahu sentiasa mendominasi senarai utama.

“Langkah ini penting supaya kita dapat memperluas lagi pilihan pemain yang lebih ramai dan bersedia untuk menggantikan pemain utama yang menghadapi masalah seperti kecederaan atau tidak dapat beraksi,” kata Fauzi.

Justeru, Fauzi mengharapkan setiap pemain yang mendapat kepercayaan supaya tidak mensia-siakan peluang keemasan itu bagi mewujudkan persaingan sihat dari aspek prestasi individu.

Katanya, biarpun aspek kemenangan kekal menjadi keutamaan mutlak pasukan, usaha memberikan pendedahan kepada muka baharu di pentas kompetitif harus seiring dengan usaha memperkasa nilai kualiti liga tempatan.

“Kesempatan untuk pemain lain kerana pemain JDT tiada, jadi pemain harus memanfaatkan peluang ini dengan betul. Pada pandangan saya, semua pihak perlu bersedia kerana mendapat panggilan kebangsaan adalah yang terbaik.

“Memang kita perlukan kemenangan tetapi pada masa yang sama peluang untuk pemain baharu harus ada dan liga kita mesti mempunyai nilai ini. Kalau kelompok pemain ini tidak diuji pada perlawanan sebegini, di mana lagi mereka mahu diuji?

“Ini adalah platform terbaik untuk pasukan secara keseluruhan. Pemain yang dipanggil adalah yang terbaik dalam liga dan peluang dipanggil bukan sesuatu yang mudah, jadi buktikan kemampuan agar terus terpilih pada masa akan datang,” katanya.