WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu menyifatkan perang di Iran sebagai tindakan yang berbaloi meskipun terpaksa menanggung kesan politik dan ekonomi, susulan kekalahan Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal.
Beliau menegaskan AS tiada pilihan selain mengambil tindakan ketenteraan bagi menghalang Tehran daripada memperoleh senjata nuklear, lapor Anadolu Ajansi.
Ketika ditanya sama ada beliau berpendapat konflik itu berbaloi, Trump menjawab: “Ya, saya rasa begitu. Maksud saya, kita tiada pilihan”.
“Kita terpaksa mengambil tindakan terhadap Iran dan tindakan itu masih diteruskan,” kata beliau.
Ketika diminta mengulas pandangan Naib Presiden JD Vance perang di Iran menyumbang kepada kekalahan Parti Republikan, Trump bersetuju sambil mengakui konflik itu menyebabkan kenaikan harga petrol dalam jangka pendek.PlayNextMute
“Saya rasa perkara itu sebahagian besarnya benar kerana perang itu menyebabkan harga petrol meningkat,” kata Trump.
Bagaimanapun, beliau mempertahan keputusan untuk melancarkan dan meneruskan kempen ketenteraan itu dengan menegaskan tindakan berkenaan perlu bagi menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear.
“Pada masa sama, jika saya perlu melakukannya sekali lagi, saya tetap akan berbuat demikian kerana dalam jangka panjang, itulah satu-satunya penyelesaian. Kita tidak boleh membiarkan Iran memiliki senjata nuklear,” kata beliau.
Terdahulu pada Rabu, Vance mengaitkan kekalahan Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal dengan perang menentang Iran, sambil menyatakan kemarahan pengundi terhadap konflik itu mendorong bekas penyokong Trump beralih menyokong Parti Demokrat.
“Punca kita kalah ialah perang,” tulis Vance dalam kenyataan menerusi platform media sosial X. – BERNAMA-ANADOLU

