KUALA LUMPUR: Perbezaan pandangan atau pendekatan antara kementerian bukan petanda wujud perpecahan dalam kerajaan, sebaliknya ia sebahagian daripada proses perbincangan dan pertimbangan dasar berdasarkan tanggungjawab, bidang kuasa serta keutamaan kementerian masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa memastikan penyelarasan antara kementerian dilaksanakan secara teratur bagi menjamin keselarasan dasar, mengelakkan pertindihan fungsi dan memastikan setiap keputusan mengambil kira kepentingan rakyat, keutamaan pembangunan negara serta kemampuan kewangan kerajaan.
“Pada masa sama, prestasi ekonomi negara terus dipantau secara berterusan berdasarkan data dan indikator ekonomi semasa.
“Ia bagi menilai keberkesanan dasar yang dilaksanakan, selain memastikan daya tahan ekonomi negara terus diperkukuh dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung sama ada percanggahan terbuka antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menggambarkan perpecahan dalam kerajaan serta pihak yang menentukan pendirian rasmi kerajaan.
Anwar berkata, setiap dasar dan keputusan kerajaan perlu melalui proses pertimbangan serta penyelarasan sewajarnya bagi memastikan tadbir urus yang berkesan.
“Perkara yang memerlukan keputusan kolektif akan dibawa untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri, selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama Jemaah Menteri.
“Sehubungan itu, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara kementerian, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar serta memantau pencapaian setiap inisiatif.
“Ia bagi memastikan keputusan yang dibuat diterjemahkan kepada hasil yang nyata, mampan dan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Lim Guan Eng mempersoalkan perbelanjaan KKDW bagi projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang didakwa melebihi peruntukan asal sebanyak RM2.1 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun menjelaskan, peruntukan asal JALB bagi tempoh berkenaan ialah RM3.982 bilion sebelum diselaraskan kepada RM6.143 bilion, manakala perbelanjaan sebenar berjumlah RM6.108 bilion.
Pada 29 Oktober lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan, Kementerian Kewangan meluluskan tambahan RM500 juta kepada KKDW melalui Surat Kebenaran Berbelanja (SKB) bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor, selain Notis Perubahan (NOC) berjumlah RM491 juta yang diluluskan lebih awal.
SUMBER : BULETIN TV3
Selamanya Malaysia

