Peguam Najib serah perintah pelepasan tahanan rumah kepada penjara hari ini

KUALA LUMPUR – Perintah pelepasan tahanan rumah yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman penjara bagi kes SRC International diserahkan kepada Jabatan Penjara hari ini.

Peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee memaklumkan, perintah tersebut dikeluarkan oleh Bahagian Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sejurus bekas Perdana Menteri menjelaskan denda RM50 juta hari ini.

Menurut beliau, perintah tahanan rumah itu dikeluarkan selaras perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 September lalu yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Ketika ditanya berapa lama masa diambil bagi menyelesaikan proses dokumentasi dan pelepasan, Muhammad Farhan menjangkakan ia selesai hari ini juga.

Bagaimanapun, beliau enggan mengesahkan individu yang hadir ke mahkamah bagi pihak UMNO bagi menjelaskan denda tersebut.

“Denda RM50 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak telah dibayar oleh UMNO kepada Mahkamah Tinggi hari ini. Kami ingin memastikan proses ini dilaksanakan dengan berkesan dan cekap. Susulan itu, mahkamah telah mengeluarkan perintah tahanan di rumah selaras dengan Pengampunan Diraja.

“Kami telah menerima perintah tersebut dan akan menyerahkannya ke Penjara Kajang serta merta. Oleh kerana masih terdapat proses lanjut yang perlu dilalui, saya tidak akan menerima sebarang soalan buat masa ini.

“Namun, sebaik sahaja proses tersebut selesai, kami akan mengeluarkan kenyataan media yang lebih menyeluruh.

“Sama ada Datuk Seri Najib dibebaskan hari ini, ia bergantung kepada proses tertentu,” ujarnya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, satu sidang media berasingan akan diadakan oleh barisan peguam mewakili Najib di kediamannya di Langgak Duta di sini pukul 4 petang ini.

Terdahulu, Muhammad Farhan hadir ditemani Pegawai Khas Najib, Ahmad Lutfi Azhar bagi mengatur urusan pembayaran tersebut dan bagi melengkapkan prosedur pentadbiran yang diperlukan sebelum pembayaran dimuktamadkan.

Pembayaran itu merupakan antara pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028. – MalaysiaGazette