KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pengangkutan akan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Datuk Seri Najib Razak menjejakkan kaki ke rumah.
Menurut beliau, surat peletakan jawatannya telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini,
ADVERTISEMENT
Namun atas nasihat Anwar, Anthony berkata, beliau meneruskan tugas seperti biasa sehingga isu pembayaran RM50 juta diselesaikan oleh Najib.
Menurut Anthony, beliau difahamkan pembayaran RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani tahanan di rumah telah pun diselesaikan.
Bagaimanapun, beliau dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bahawa Najib masih belum dibenarkan pulang ke rumah.
Bekas Presiden UMNO itu, dihantar ke klinik gigi bagi menjalani pemeriksaan gigi seperti yang telah dijadualkan.
“Kalau malam ini beliau jejak rumah, malam ini lah (peletakan jawatan) saya akan berkuat kuasa. Kalau esok, maka esoklah.
“Ini kerana surat peletakan jawatan telah dihantar kepada PM,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Tegas beliau, pendiriannya dan parti tidak pernah berubah meski pun menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong yang memberi perkenan agar bekas Perdana Menteri itu boleh menjalani tahanan di rumah secara bersyarat.
“Pendirian saya tidak berubah, saya juga dah maklumkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan pegawai-pegawai saya. sejurus Najib tiba di rumah, maka peletakan jawatan saya akan berkuat kuasa,” katanya lagi.
Ditanya mengenai tugas dan perancangan yang telah disusun lebih awal di Kementerian Pengangkutan, Anthony berkata, beliau yakin dengan keupayaan pegawai-pegawai kementerian tersebut untuk melaksanakan semua perancangan mengikut jadual.
Malah, Ahli Parlimen Seremban itu sedia menawarkan bantuannya jika diperlukan.
Tambahnya, beliau akan hadir ke sambutan Deepavali Kementerian Pengangkutan, Rabu depan yang dijangka turut menjadi majlis perpisahan terakhir bersama warga kementerian itu. –MalaysiaGazette

