Margin rizab bekalan elektrik Sabah meningkat kepada 19 peratus – Masidi

KOTA KINABALU: Margin rizab penjanaan elektrik Sabah meningkat daripada lapan peratus pada tahun 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, peningkatan itu susulan pengambilalihan kuasa kawal selia terhadap sektor elektrik dan tenaga boleh diperbaharui oleh kerajaan Sabah pada Januari 2024.

Katanya, Sabah masih berdepan cabaran infrastruktur elektrik yang lama wujud, khususnya di kawasan luar bandar dan sepanjang pantai timur negeri itu.

“Kita tidak boleh bercakap secara serius mengenai perindustrian, menarik pelaburan bernilai tinggi atau mewujudkan pekerjaan dengan gaji lebih baik.

“Kita terlebih dahulu perlu menjamin bekalan elektrik boleh dipercayai dan pada harga berpatutan,” katanya ketika merasmikan Bengkel Pelaburan Tenaga dan Hubungan Grid Serantau Sabah di sini.

Masidi berkata, Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 menyediakan kerangka bagi meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik, memperluas akses bekalan elektrik ke kawasan luar bandar serta mempelbagaikan sumber tenaga negeri.

“Hubungan grid elektrik Sarawak-Sabah, yang mula membekalkan tenaga elektrik pada Disember tahun lalu, adalah contoh kejayaan kerjasama serantau,” katanya.

Mengenai Southern Link pula, Masidi berkata projek itu bertujuan memperkukuh rangkaian penghantaran elektrik Sabah dan meningkatkan penyaluran bekalan ke kawasan pantai timur.

Katanya, kedudukan strategik Sabah yang terletak di antara Sarawak, Kalimantan dan selatan Filipina menawarkan peluang kepada negeri itu untuk mengambil bahagian dalam rangkaian bekalan elektrik serantau yang lebih luas.

“Antara peluang itu adalah cadangan sambungan grid elektrik Kalimantan Utara-Sabah, rangkaian Grid Borneo yang lebih luas serta potensi hubungan bekalan elektrik antara Sabah dengan Filipina,” katanya.

Masidi bagaimanapun berkata, hubungan tenaga serantau perlu memperkukuh keselamatan tenaga, memberikan manfaat ekonomi yang nyata serta melindungi keperluan bekalan elektrik domestik Sabah dan kepentingan pengguna.