Dua budak main luar tingkap pangsapuri ditinggal bersendirian

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kejadian dua kanak-kanak keluar melalui tingkap dan bermain di luar bangunan sebuah pangsapuri di Subang Jaya, Selangor yang tular baru-baru ini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supt Mohd Fairus Jaafar, pihaknya menerima laporan daripada wakil pengurusan residensi berkenaan, kira-kira 3.11 petang, 16 November lalu.

“Kedua-dua kanak-kanak terbabit merupakan bukan warganegara, masing-masing berumur 6 dan 7 tahun dipercayai ditinggalkan bersendirian di rumah tanpa pengawasan ibu bapa sebelum keluar melalui tingkap dan bermain di kawasan tersebut.

“Walaubagaimanapun, kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan dijalankan di bawah seksyen 31(1)(a) akta kanak-kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 13 November 2026, kira-kira 4.26 petang.

Rakaman video yang memaparkan kejadian tersebut kemudiannya tular di media sosial.

Pihak polis menasihatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian yang berlaku dan menyeru mana-mana saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis subang jaya atau ipd subang jaya di talian 03-7862 7222 dan pegawai penyiasat insp. Fatin nur nadhirah binti zahari di talian 012-9979552 bagi membantu siasatan. –MalaysiaGazette