Kematian pelajar Tingkatan Tiga: KPM beri kerjasama penuh kepada polis – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan berhubung kematian seorang pelajar di asrama sebuah sekolah di Perak, dijalankan secara menyeluruh dan telus.

Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan kejadian disahkan berfungsi dengan baik dan rakamannya telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Ujarnya, pemeriksaan bedah siasat oleh pihak forensik pula dijadualkan diadakan jam 9 pagi hari ini.

Menurut beliau, beberapa pentadbir dan guru sekolah berkenaan telah diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu siasatan.

“Saya turut mengarahkan Jemaah Nazir hadir ke sekolah esok untuk meneliti aspek pengurusan dan pematuhan tatacara keselamatan.

“Bagi menjaga kesejahteraan warga sekolah, murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan akan dibenarkan pulang pada hari Jumaat, 20 November 2026.

“Bantuan psikososial juga telah diberikan kepada mereka yang terkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.

Terdahulu, menurut Fadhlina, beliau mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan susulan kejadian itu malam tadi, termasuk bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) di lokasi kejadian.

“Saya amat memahami betapa beratnya kehilangan seorang anak.

“Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan kesedihan yang sedang ditanggung keluarga mangsa. Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga,” katanya.

Tegas Fadhlina, KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau pelanggaran tatacara keselamatan sekiranya terbukti melalui hasil siasatan.

Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa.

“Berikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.

“Semoga keluarga mangsa terus diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.

Terdahulu, media semalam melaporkan seorang pelajar sekolah berasrama penuh (SBP) di daerah Kuala Kangsar ditemukan meninggal dunia dalam kawasan sekolah itu.

Bagaimanapun setakat ini, tiada maklumat lanjut daripada pihak berkuasa berhubung kejadian sebenar yang berlaku. – MalaysiaGazette