Mangsa bunuh ditemukan dengan kepala terbenam dalam selut

NIBONG TEBAL – Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemukan dengan kepala dan separuh badannya terbenam dalam selut di tebing tali air Kampung Baru, Ladang Byram di sini, tengah malam tadi.

Mayat mangsa dipercayai warga tempatan itu ditemukan orang awam sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis kira-kira jam 11 malam.

Difahamkan, pemeriksaan awal pihak polis dan forensik di lokasi kejadian mendapati ada kesan kecederaan pada kepala mangsa.

Selain itu, kesan darah turut ditemukan di kawasan berhampiran tali air berkenaan.

Tinjauan di lokasi kejadian turut mendapati, pihak polis mengambil masa sehingga jam 6 pagi tadi bagi menjalankan siasatan di lokasi.

Difahamkan, laluan itu sering digunakan orang awam khususnya penduduk kampung berhampiran untuk ke sungai dan kawasan sangkar ikan.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

”Identiti mangsa masih belum dikenal pasti setakat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal, Pegawai Bomba Kanan III Mohd Faizal Khan Mohd Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan daripada polis untuk mengeluarkan mayat berkenaan.

“Mayat mangsa yang sempurna itu ditemukan dalam selut sebelum anggota bomba membantu mengangkatnya.

“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut kira-kira jam 2.45 pagi tadi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette