KOTA TINGGI – Seorang wanita warga emas tercampak keluar dari kereta dinaiki sebelum maut dalam kemalangan di Jalan Lok Heng bersebelah kebun Felda Lok Heng Barat di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Hazmi Zulkafli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 2.39 petang.
Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya 27 kilometer.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang telah terbabas ke bahu jalan.
“Kereta tersebut dipandu lelaki dewasa berusia 25 tahun dan seorang penumpang iaitu ibunya wanita yang berusia 68 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Akibat kemalangan tersebut wanita warga emas berkenaan tercampak keluar dari kereta dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.
PKO katanya, bertindak menjalankan pemeriksaan dan menyerahkan mayat kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, operasi tamat pukul 3.53 petang. – MalaysiaGazette

