EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Dalam satu insiden luar biasa yang mencuri tumpuan dunia bola sepak, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump secara mengejut muncul dan tumpang sekaki dalam acara penyampaian trofi Chelsea selepas kemenangan 3-0 mereka ke atas Paris Saint-Germain (PSG) pada final Piala Dunia Kelab.
Trump, yang hadir bersama isteri Melania dan Presiden FIFA Gianni Infantino, dilihat berada di tengah-tengah pentas ketika Chelsea sedang bersiap sedia untuk menjulang trofi, satu tindakan yang menimbulkan kekeliruan jelas dalam kalangan pemain.
Menurut pakar pembaca gerakan bibir, Jeremy Freeman, Trump sempat berbual dengan beberapa pemain termasuk Cole Palmer, penjaring dua gol pada perlawanan itu, ketika memperkenalkan diri.
Kata Trump: “Saya peminat tegar Chelsea. Saya peminat anda. Syabas, anda hebat.”
Palmer, yang dikenali kerana tidak banyak bercakap dalam temu bual, hanya menjawab ringkas: “Terima kasih.”

Namun kekecohan bermula apabila Trump enggan beredar dari pentas selepas menyampaikan anugerah Sarung Tangan Emas kepada penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.
Infantino kelihatan cuba memberi isyarat supaya Trump turun dari pentas, tetapi beliau tetap berdiri bersama pasukan.
Ketika detik mengelirukan itu, Palmer dilihat membisikkan: “Apa beliau buat ini?” yang kini tular dan dijadikan meme dalam kalangan penyokong Chelsea.
Lebih pelik, Freeman mendedahkan kapten Reece James terpaksa bertanya kepada Trump sama ada dia boleh menjulang trofi atau tidak.
“Boleh saya julang?” soal James, yang dibalas Trump dengan: “Oh, boleh. Silakan!”

Sanchez pula dilapor menjemput Trump untuk terus berada di atas pentas.
“Tuan, mahu kami julang trofi di sebelah tuan?” katanya, sebelum mengisyaratkan kepada James untuk memulakan sambutan.
Trump kelihatan tersenyum lebar di barisan hadapan ketika James menjulang trofi kemenangan, seperti beliau sendiri sebahagian daripada pasukan.
Kehadiran Trump mencetuskan reaksi bercampur baur daripada penyokong, termasuk sindiran di media sosial yang menyamakannya dengan John Terry – legenda Chelsea yang terkenal kerana turut menyertai perayaan trofi walaupun tidak bermain pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2012.
Palmer sendiri mengakui selepas perlawanan: “Saya tahu beliau akan hadir, tetapi saya tidak jangka beliau akan berada di pentas ketika kami menjulang trofi. Memang saya keliru.” – AGENSI

