ZURICH, Switzerland: Sepakan susulan ketika penalti mungkin akan dimansuhkan menjelang Piala Dunia tahun depan.
Pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk kad kuning kedua dan sepakan sudut juga mungkin akan diperkenalkan oleh penggubal peraturan bola sepak.
Dalam sejarah 134 tahun sukan bola sepak, kegagalan menyempurnakan sepakan penalti mungkin akan memberikan sepakan percuma kepada lawan.
Perubahan baharu ini perlu mendapat persetujuan Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (Ifab), namun ramai yang menyokong cadangan untuk membenarkan hanya sekali sepakan untuk penalti.
Pemberian penalti untuk kesalahan seperti bola terkena tangan dilihat memberi peluang besar untuk menjaringkan gol sekiranya undang-undang sedia ada dikekalkan – terutama apabila sepakan susulan dibenarkan jika bola melantun kembali ke dalam padang.PlayNextMute
Pasukan yang menyerang juga mempunyai kelebihan berbanding pasukan bertahan ketika penalti, memandangkan sekurang-kurangnya sebelah kaki penjaga gol perlu berada di atas atau di belakang garisan gol ketika sepakan diambil.
Dengan membenarkan hanya sekali sepakan diambil – seperti dalam peraturan hoki – ia akan menyelesaikan masalah pemain lain berada di kedudukan tidak dibenarkan ketika sepakan penalti diambil.
Dalam peraturan baharu itu, permainan akan dimulakan kembali di tengah padang jika penalti dijaringkan, atau sepakan gol oleh pasukan bertahan jika gagal disempurnakan – tanpa mengira terkena penjaga gol atau tidak.
Sekiranya peraturan ini diguna pakai sebelum ini, jaringan masa tambahan Harry Kane menentang Denmark di separuh akhir Euro 2020 tidak akan berlaku selepas Kasper Schmeichel menyelamatkan sepakan pertama penyerang England itu.
Begitu juga gol penyamaan Xabi Alonso ketika Liverpool bangkit menewaskan AC Milan pada final Liga Juara-Juara Eropah 2005.
Ifab bersedia melakukan perubahan radikal dalam peraturan bola sepak bagi menjadikan sukan itu lebih menarik. – AGENSI

