BAYAN LEPAS – Seorang lelaki warga Filipina ditemukan meninggal dunia di tingkat 16 sebuah kondominium di Persiaran Relau, Sungai Ara di sini hari ini.
Mangsa dikenali Dumayas Jefferson yang berusia lingkungan 40-an dan bekerja sebagai juruteknik di negeri ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Abdul Manap Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.19 pagi daripada pihak polis yang memohon bantuan untuk mengangkat mayat mangsa.
“Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kematian mangsa di lokasi kejadian. Susulan itu, polis meminta bantuan bomba bagi mengangkat dan menurunkan mayat mangsa dari unit kediamannya di tingkat 16 ke perkarangan bangunan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Abdul Manap, mayat mangsa dibawa menggunakan pengusung dan diturunkan menerusi lif.
“Mayat dihantar ke hospital dan kes diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut,”katanya. – MalaysiaGazette

