Misi Bantuan Kemanusiaan Dari Malaysia ke Palestin Melalui Penghantaran Laut” yang berlepas dari Pelabuhan Klang. – Foto Datuk Mohamad Alamin
KUALA LUMPUR: Malaysia setakat ini menghantar lebih 1,500 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui inisiatif Ops Ihsan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang lain, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.
Beliau menerusi Facebook hari ini berkongsi mengenai program “Gift For Gaza: Misi Bantuan Kemanusiaan Dari Malaysia ke Palestin Melalui Penghantaran Laut” yang berlepas dari Pelabuhan Klang.
Misi Bantuan Kemanusiaan Dari Malaysia ke Palestin Melalui Penghantaran Laut” yang berlepas dari Pelabuhan Klang. – Foto Datuk Mohamad Alamin
“Malaysia terus komited dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza. Kerajaan Malaysia terus memainkan peranan aktif dan mempamerkan pendirian yang tegas dalam isu Palestin,” katanya.
Mohamad berkata, pendirian tegas Malaysia bukan hanya bermula pada 7 Oktober 2023 tetapi ia bertitik tolak daripada perjuangan Palestin yang telah ditindas oleh rejim Israel sejak 75 tahun yang lalu.
Menurut laporan Agensi Anadolu, Israel melakukan serangan ketenteraan di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu.
Hampir 32,800 warga Palestin terkorban dan 75,300 lagi cedera selain kemusnahan pada skala besar dan kekurangan bekalan keperluan. Israel telah mengenakan sekatan yang menjejaskan Semenanjung Gaza mengakibatkan penduduknya kelaparan.
Israel juga telah mengakibatkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal selain daripada kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang serius sementara 60 peratus daripada infrastruktur telah rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Israel turut menghadapi pendakwaan melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang pada Khamis lalu turut diperintahkan supaya bertindak untuk mengelakkan kebuluran di Gaza.–